Badan pemikir sokong cadangan tubuh pasukan pantau FDI

Badan pemikir sokong cadangan tubuh pasukan pantau FDI

Pusat Pendidikan Pasaran (CME) berkata jawatankuasa itu harus merangkumi wakil daripada dewan perniagaan antarabangsa dan industri tempatan.

Carmelo Ferlito daripada Pusat Pendidikan Pasaran (CME) dan bekas menteri kewangan kedua Johari Ghani menggesa penubuhan jawatankuasa khas bawah Miti untuk memantau pelaburan dalam negara.
PETALING JAYA:
Sebuah badan pemikir menggesa kerajaan menubuhkan jawatankuasa pemantauan pelaburan langsung asing (FDI) bagi mengukuhkan keupayaan Malaysia menarik FDI dan membangunkan strategi komunikasi yang sewajarnya.

Pusat Pendidikan Pasaran (CME) berkata, jawatankuasa itu yang sepatutnya berada bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), harus merangkumi wakil daripada dewan perniagaan antarabangsa dan industri tempatan.

CME berkata jawatankuasa itu perlu ditugaskan untuk mendapatkan maklum balas daripada pemain industri antarabangsa dan domestik untuk memahami sebab yang akhirnya menyekat pelabur daripada memasuki negara ini.

Ia berkata, jawatankuasa itu juga harus mengkaji mengapa pelaburan yang diluluskan tidak bertukar menjadi projek dilaksanakan.

Tugasnya yang lain harus termasuk menyampaikan data tentang FDI yang diluluskan dan dilaksanakan serta merangka cadangan untuk mengukuhkan daya tarikan pelaburan Malaysia.

Dalam kenyataan, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Carmelo Ferlito, berkata isu paling penting mengenai daya tarikan pelaburan ialah perundangan buruh dan peraturan perbankan.

Katanya, terdapat terlalu banyak batasan yang menghalang kemunculan tenaga buruh melibatkan bakat dan tahap pekerja berkemahiran rendah.

Ferlito berkata, peraturan perbankan yang ketat menjadikannya mustahil atau sangat memakan masa bagi syarikat besar untuk membuka akaun bank tempatan, dengan peningkatan risiko pelantikan pengarah dan pemegang saham palsu.

“Semakan tetap pelaburan, untuk memahami apa yang betul dan apa yang salah, dan dialog berterusan dengan pemain industri adalah elemen utama untuk menggiatkan semula kerjaya Malaysia kepada perdagangan dan pelaburan antarabangsa,” katanya.

Ini susulan gesaan bekas menteri kewangan II, Johari Ghani, agar kerajaan menubuhkan jawatankuasa khas bawah Miti untuk memantau pelaburan dalam negara, berikutan Malaysia memperoleh komitmen pelaburan RM170 bilion daripada China.

Ahli Parlimen Titiwangsa itu berkata, ia penting bagi memantau setiap perkembangan selaras dengan memorandum persefahaman (MoU) dimeterai antara syarikat Malaysia dengan negara berkenaan, sekali gus penyelesaian perlu dilakukan segera daripada permasalahan berbangkit.

Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang juga menteri kewangan, berkata beliau akan mempengerusikan mesyuarat khas mengenai pelaburan RM170 bilion dari China bagi memastikan projek itu dilaksanakan dengan berkesan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.