Simpanan licin, hampir bercerai ditipu syarikat pelaburan, kata mangsa

Simpanan licin, hampir bercerai ditipu syarikat pelaburan, kata mangsa

Hampir 500 mangsa ke Suruhanjaya Sekuriti membuat aduan dan kebanyakan mangsa menggunakan wang KWSP untuk melabur.

Mangsa penipuan skim pelaburan membuat aduan di Suruhanjaya Sekuriti (SC) hari ini.
KUALA LUMPUR:
Rumah tangga seorang wanita hampir runtuh kerana tekanan akibat kehilangan duit dalam suatu skim pelaburan.

Anisa Talib, 45, yang mendakwa dirinya mangsa penipuan skim pelaburan, berkata jumlah pelaburan dibuat dengan syarikat terbabit hampir RM100,000, yang mana sebahagian besar daripada simpanannya dan anak-anak.

“Rumah tangga saya bergolak, saya murung kerana berulang kali ditipu, malah saya dan suami hampir bercerai akibat tertekan,” katanya kepada media selepas membuat aduan kepada Suruhanjaya Sekuriti (SC), bersama Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa (MHO).

Anisa berkata, beliau menyertai skim itu dengan yakin kerana kakaknya sendiri salah seorang ejen syarikat pelaburan terbabit, yang akhirnya turut menjadi mangsa penipuan.

“Saya percaya kerana mereka tunjuk sijil, sebab ada bukti daftar SC, ada insurans membuatkan saya yakin saya guna semua simpanan saya dan anak melabur.

“Kakak saya yang memperlawa untuk melabur dan dia juga salah seorang ejen, jadi bila kakak sendiri yang tawarkan takkan saya tak percaya tapi akhirnya kakak saya juga antara mangsa,” katanya, sambil memaklumkan beliau mula melabur dengan syarikat tersebut awal tahun lalu dan hanya sekali sahaja diberi dividen.

“Akibat penipuan mereka membuatkan saya terpaksa kerja balik. Awal itu saya berhenti kerja sebab yakin dengan pelaburan.”

Seorang lagi mangsa, Harun Mohamad Yunus, 63, berkata beliau menggunakan wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM250,000 untuk melabur pada 2021, dan hanya dibayar dividen selama empat kali sebanyak RM6,000 sebulan.

“Hanya sempat empat kali sahaja mereka beri dividen lepas itu ‘Innalillah’ duit saya pun habis licin,” katanya.

“Alasan syarikat tidak dapat bayar dividen, mereka kata syarikat ada masalah. Mereka janji nak pulangkan duit sebab syarikat nak hentikan pelaburan, tapi selepas itu tidak beri sebarang bayaran balik.”

Setiausaha Agung MHO, Hishamuddin Hashim, berkata hampir 500 mangsa hadir ke SC hari ini membuat aduan supaya tindakan diambil ke atas syarikat terbabit.

“Kita datang untuk buat aduan beberapa syarikat yang menawarkan skim pelaburan berkonsep iRPS (Islamic Redeemable Preference Shares), sukuk, short-term notes, dan tabung amanah. Empat jenis bentuk pelaburan ditawarkan kepada mangsa, malah yang hadir membuat aduan segelintir sahaja ada ramai lagi mangsa terlibat.

“Setakat ini ada lima syarikat dikesan antaranya mula beroperasi sejak 2016 hingga 2021. Ada yang berpengkalan di Hong Kong dan di Malaysia. Malangnya rata-rata syarikat itu menutup operasi pada 2021,” katanya.

Berdasarkan jumlah mangsa yang membuat aduan, pihaknya menganggarkan kerugian hampir RM1 bilion.

“Ada mangsa melabur lebih RM3 juta, malah mereka yang bergelar tan sri dan datuk seri juga menjadi mangsa penipuan. Syarikat penipu turut menggunakan nama tokoh bagi meyakinkan orang ramai. Bagaimanapun selepas disemak tokoh tersebut tidak terlibat sebaliknya hanya nama mereka digunakan untuk menipu.

“Kita minta jasa baik SC selaku badan yang boleh menyiasat semua syarikat melakukan siasatan terperinci kerana jumlah pelabur agak ramai,” katanya, sambil memaklumkan kebanyakan mangsa menggunakan wang KWSP untuk melabur.

Turut hadir Presiden Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC), Musa Hassan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.