
Itu merupakan kejadian menimpa dua beradik yang masing-masing guru dan pesara swasta susulan diperdaya menerusi panggilan telefon mendakwa identiti mereka disalahguna melibatkan kesalahan pengubahan wang haram dan dadah.
Ketua Polis Kuala Terengganu Abdul Rahim Md Din, berkata pihaknya menerima laporan kes scammer itu pada semalam, di mana kejadian berlaku pada 28 Feb lalu.
Katanya, dua beradik perempuan masing-masing berusia 56 dan 62 tahun itu terpedaya selepas menerima panggilan “pihak insurans” dan “pihak polis” ingin membantu mereka menyelesaikan “kes”.
“Pengadu diminta membuka satu akaun bank lain dan diminta untuk mendedahkan maklumat akaun pengadu pada sindiket. Kemudian kedua-dua pengadu diarahkan membuat pemindahan wang ke dalam akaun baharu dibuka,” katanya dalam kenyataan.
Rahim berkata, mangsa diarahkan tidak menggunakan akaun tersebut sepanjang “tempoh kes”.
“Kedua-dua pengadu menyedari telah diperdaya setelah membaca satu artikel berkenaan ‘phone scam’ di laman akhbar,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.