Selain AUKU, ubah cara pilih pemegang jawatan penting di universiti, kesatuan gesa KPT

Selain AUKU, ubah cara pilih pemegang jawatan penting di universiti, kesatuan gesa KPT

KMUM mendakwa sikap tidak ambil endah suara mahasiswa dan ahli akademik adalah kerana pemegang jawatan penting dilantik orang atasan.

Pemimpin kesatuan pelajar percaya pendekatan atas-bawah dalam pemilihan calon untuk jawatan penting di universiti akan membuka ruang kepada lantikan politik yang tidak sihat. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Antara langkah yang boleh diambil untuk menambahbaik institusi pengajian tinggi awam adalah mengubah pendekatan dalam pemilihan jawatan penting di universiti, kata Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM).

Presidennya, Ooi Guo Shen mendakwa sikap tidak ambil endah suara mahasiswa dan ahli akademik adalah kerana pemegang jawatan penting dilantik pihak atasan.

Menurutnya, pendekatan sekarang kementerian memilih naib canselor dan ahli lembaga pengarah, lalu mereka ini kemudian memilih timbalan naib canselor, pendaftar kanan, dan dekan.

Katanya kepada FMT, beliau percaya pendekatan atas-bawah dalam pemilihan calon untuk jawatan berkenaan “akan membuka ruang kepada lantikan politik yang tidak sihat bagi landskap pendidikan tinggi”.

Beliau khuatir ia “mendorong kepada punca pelbagai isu, karenah, dan sikap acuh tak acuh masih wujud saban tahun di sesetengah institusi pengajian tinggi awam.

“Pihak atasan tidak akan mengambil endah terhadap suara mahasiswa dan ahli akademik kerana tidak wujudnya semak dan imbang mahasiswa dan ahli akademik terhadap mereka yang memegang kuasa,” katanya.

Terdahulu, Menteri Pengajian Tinggi Mohamed Khaled Nordin mengumumkan kementeriannya sedang melaksanakan kajian menyeluruh berkenaan Akta Universiti Kolej Universiti supaya penambahbaikan dapat dilaksanakan secara menyeluruh.

Ooi menggesa kementerian turut mengkaji cadangan Jawatankuasa Teknikal Mansuh Akta Universiti dan Kolej Universiti yang sebelum ini mencadangkan perubahan kepada Akta Pendidikan Tinggi berkenaan pemilihan jawatan penting di universiti.

Dalam pada itu, KMUM menggesa kajian berhubung sistem ombudsman untuk menangani aduan daripada siswa dan ahli akademik.

Menerusi sistem itu, Ooi menjelaskan aduan boleh disalurkan kepada kementerian “tanpa perlu melalui pihak atasan yang mungkin mengambil tindakan terhadap penyampai maklumat jika timbulnya sesuatu masalah”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.