Kaut untung RM45,000 sebulan seleweng diesel

Kaut untung RM45,000 sebulan seleweng diesel

KPDN Perak merampas 32,000 liter diesel bersubsidi disorok dalam dua tangki rahsia di premis kolam ikan.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak berjaya membongkar kegiatan penyelewengan diesel berselindung di sebalik premis kolam ikan di Simpang Pulai, Ipoh. (Gambar Freepik)
PETALING JAYA:
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak berjaya membongkar kegiatan penyelewengan diesel berselindung di sebalik premis kolam ikan di Simpang Pulai, Ipoh dalam Ops Tiris, malam tadi.

Serbuan itu berjaya merampas 32,000 liter diesel subsidi dianggarkan bernilai RM76,160 disimpan dalam dua tangki rahsia di bawah tanah, selain tangki tambahan pada lori di premis terbabit.

Pengarahnya, Kamalludin Ismail, berkata penahanan turut dibuat terhadap dua lelaki tempatan berusia 47 dan 49 tahun dipercayai pemilik premis dan pemandu lori untuk siasatan lanjut.

Menurutnya, mereka dipercayai membeli diesel di stesen minyak secara berulang menggunakan lori diubahsuai sebelum memindahkan bahan api itu ke tangki di premis berkenaan.

Katanya, lelaki terbabit juga meletakkan pelbagai barangan di bahagian tangki itu bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa.

“Selain lori yang diubah suai, serbuan turut menemukan lima unit peralatan pam penyedut minyak serta dua lori yang digunakan bagi tujuan membeli dan pengedaran diesel terbabit,” katanya menurut Berita Harian.

Kamalludin berkata, siasatan mendapati diesel bersubsidi yang diseleweng itu akan dihantar ke beberapa syarikat industri di Pulau Pinang melalui enam kali penghantaran.

Katanya, sindiket itu dipercayai beroperasi sejak tiga bulan lalu dengan menjual bekalan kepada syarikat terbabit dan dipercayai mereka mampu meraih keuntungan hingga RM45,000 sebulan.

“Kita juga dapati premis ini tidak berlesen dan tidak memiliki permit untuk menyimpan barang kawalan daripada KPDN,” katanya.

Beliau berkata semua rampasan keseluruhan dianggarkan bernilai RM321,170 dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.