Doa ibu makbul, anak dapat peluang kedua lepas hukuman mati mansuh

Doa ibu makbul, anak dapat peluang kedua lepas hukuman mati mansuh

Wanita gembira apabila Parlimen meluluskan rang undang-undang memansuhkan hukuman mati mandatori.

Siti Zabidah Rasyid berkata dia sentiasa menyokong anaknya, Razali yang dijatuhi hukuman mati kerana mengedar dadah 23 tahun lalu. (Gambar Reuters)
GOMBAK:
Selama dua dekad, Siti Zabidah Rasyid mengharap satu keajaiban dapat menyelamatkan anak lelakinya, Razali daripada hukuman mati.

Razali dijatuhi hukuman gantung kira-kira 23 tahun lalu selepas ditangkap bersama 851gm kanabis.

Bagaimanapun, doa Siti Zabidah dimakbulkan pada Isnin lalu apabila Parlimen meluluskan reformasi undang-undang untuk memansuhkan hukuman mati mandatori.

“Saya sangat gembira,” kata Siti Zabidah ketika ditemui di rumahnya.

Katanya, anaknya memberitahu seorang rakannya memaksa dia membawa dadah itu dan dijadikan “kambing hitam” selepas ditangkap.

Mengimbas detik itu, Siti Zabidah berkata, dia pengsan selepas hakim menjatuhkan hukuman mati terhadap anaknya.

“Saya boleh hidup tanpa suami tetapi tidak tanpa anak-anak,” katanya.

Lebih 1,300 individu berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup di Malaysia termasuk mereka yang sudah menggunakan semua saluran perundangan.

Tetapi bawah undang-undang baharu yang diluluskan Isnin lalu, mereka kini boleh memohon semakan hukuman di mahkamah.

Pindaan itu terpakai untuk 34 kesalahan yang membawa hukuman mati termasuk membunuh dan mengedar dadah. Sebelas daripada kesalahan itu menetapkan hukuman mati sebagai mandatori.

Buat masa ini hukuman pemenjaraan seumur hidup, ditafsir oleh undang-undang untuk tempoh ditetapkan 30 tahun, dikekalkan.

Nasib anak Siti Zabidah kini di tangan mahkamah yang akan memutuskan hukuman alternatif.

Mengikut undang-undang baharu itu, alternatif kepada hukuman mati adalah sebatan dan penjara hingga 40 tahun.

Siti Zabidah berkata, dia akan menyokong anaknya tidak kira apa hukuman juga bakal dihadapi.

“Selagi masih hidup, saya akan terus memberi semangat kepadanya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.