
Menteri Pendidikan Tinggi Khaled Nordin, berkata pemberian dividen itu melibatkan anggaran peruntukan RM266.17 juta yang akan memanfaatkan kira-kira 5.73 juta pendeposit akaun Simpan SSPN.
“Dividen 3.05% ini bukan sahaja lebih tinggi berbanding agihan dividen sebanyak 3% pada 2021.
“Malah, ia merupakan kadar dividen kompetitif kerana lebih tinggi berbanding kadar keuntungan simpanan di akaun semasa dan simpanan tetap di sesetengah bank menawarkan kadar faedah keuntungan antara hanya 2.05% hingga 2.75%,” katanya.
Beliau berkata demikian di Majlis Pengumuman Dividen Simpan SSPN 2022 dan Pelancaran Kempen Ganjaran Kesetiaan Simpan SSPN Prime 2023.
Hadir sama, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Yusuf Apdal, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi Abdul Razak Jaafar dan Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid.
Khaled berkata, sejak diperkenalkan pada 2004, PTPTN telah mengagihkan jumlah dividen keseluruhan bernilai RM1.33 bilion.
Setakat 31 Dis tahun lalu, sebanyak 5.73 juta akaun Simpan SSPN telah dibuka, melibatkan nilai deposit sebanyak RM14.24 bilion, katanya.
Khaled berkata, tahun lalu, Simpan SSPN merekodkan nilai simpanan membanggakan sekalipun negara berdepan dengan persekitaran ekonomi tidak menentu.
“Deposit Simpan SSPN diterima pada tahun lepas berjumlah RM3.36 bilion iaitu 119.93% lebih tinggi berbanding sasaran awal sebanyak RM2.8 bilion.
“Jumlah ini menunjukkan peningkatan sebanyak RM350.55 juta, berbanding 2021 yang mencatatkan nilai simpanan sebanyak RM3.01 bilion,” katanya.
Dari segi pembukaan akaun baharu, Khaled berkata, sebanyak 491,984 akaun telah dibuka pada tahun lepas berbanding sasaran sebanyak 400,000 akaun.
“Kesemua pencapaian ini membuktikan keyakinan dan sokongan para pendeposit Simpan SSPN kekal utuh dan berterusan,” katanya.
Beliau berkata, sambutan menggalakkan masyarakat ke atas Simpan SSPN bukanlah sesuatu mengejutkan kerana simpanan itu disokong dengan pelbagai keistimewaan dan manfaat.
“Selain menjadi satu-satunya produk simpanan memberikan keistimewaan pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan hingga RM8,000 setahun, Simpan SSPN turut dilengkapi dengan perlindungan takaful ke atas pendeposit, Geran Sepadan hingga RM10,000 untuk satu keluarga layak, simpanan dijamin kerajaan dan pelaburan patuh syariah,” katanya.
Sementara itu, PTPTN dalam kenyataan medianya, memaklumkan agihan dividen akan dimasukkan terus ke akaun Simpan SSPN dan pendeposit boleh membuat semakan penyata simpanan masing-masing secara dalam talian melalui portal rasmi www.ptptn.gov.my atau aplikasi myPTPTN mulai esok.