
Katanya, kerajaan perlu tegas dengan pembaharuan untuk teksi supaya kenderaan dalam perkhidmatan diselenggara dengan baik dan memastikan penumpang tidak perlu melalui kerosakan yang kerap.
“Purata perbatuan setahun untuk kenderaan biasa ialah 20,000km. Teksi bergerak tiga kali lebih banyak, jadi selepas 10 tahun, ia mudah mencapai 600,000km.
“Teksi berusia 15 tahun memerlukan kos lebih tinggi untuk diselenggara dan dilindungi insurans. Keselamatan dan keselesaan perlu menjadi keutamaan,” katanya kepada FMT.
Kenyataan Rosli menyusul pengumuman Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad) semalam bahawa had usia 15 tahun terpakai untuk semua kenderaan e-panggilan dan teksi di Semenanjung yang berusia 10 tahun pada 1 Jan lalu.
Had usia teksi di Sabah kini ditetapkan pada 20 tahun, manakala Sarawak ialah 18 tahun.
Presiden Persatuan Pengguna Pengangkutan Awam, Ajit Johl menggesa syarikat dan penyedia e-panggilan menyatakan usia kenderaan ketika pengguna membuat tempahan.
“Jika penumpang tidak mahu kereta berusia 15 tahun, mereka perlu mempunyai pilihan lain.”
Katanya, syarat untuk menjalani pemeriksaan Puspakom bagi memastikan standard keselamatan tidak patut dikompromi.
Setiausaha Agung Gerakan Pengguna Malaysia, Sukhdave Singh, berkata “kenderaan diselenggara dengan baik boleh bergerak sehingga 15 tahun tanpa masalah”.
Kumpulan itu memuji syarat untuk pemeriksaan wajib Puspakom sebagai perlindungan kerana “ini akan membantu memastikan kenderaan tertentu layak dipandu di jalan raya”.
Menurut Apad, lanjutan had usia kenderaan itu sejajar hasrat Kementerian Pengangkutan melestarikan industri teksi dan e-panggilan ke arah menambah baik sistem pengangkutan negara.