4 ditahan, polis rampas dadah RM5.5 juta

4 ditahan, polis rampas dadah RM5.5 juta

Polis percaya sindiket yang aktif sejak awal tahun lalu itu menjadikan kediaman sendiri dan rumah sewa sebagai tempat memproses serta membungkus dadah.

Ketua Polis Perak Yusri Hasan Basri (tiga, kiri) menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang media hari ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Empat ditahan dan hampir 80kg dadah dianggarkan bernilai RM5.5 juta dirampas dalam dua serbuan di Pantai Remis, Manjung, Perak, Sabtu lalu.

Sinar Harian melaporkan seorang lelaki tempatan dan tiga wanita warga Vietnam berusia 32 hingga 39 tahun ditahan dalam serbuan antara 7 pagi dan 3.30 petang.

Ketua Polis Perak, Yusri Hassan Basri, berkata sindiket itu dipercayai aktif sejak awal tahun lalu dengan menjadikan kediaman sendiri dan rumah sewa sebagai tempat memproses serta membungkus dadah.

Katanya, dadah yang siap diproses dan dibungkus itu diedarkan di seluruh Perak.

Beliau berkata, 245 biji pil ecstasy dan 1.22kg serbuk disyaki ecstasy bernilai RM95,043 dirampas dalam serbuan pertama, manakala empat individu yang juga pekerja ditahan.

“Tangkapan ini membawa kejayaan kepada serbuan kedua di sebuah rumah di kawasan Panchor, Pantai Remis,” katanya menambah 11,838 biji pil ecstasy dianggarkan 5.59kg, serbuk seberat 38.3kg dan 31.3kg cecair disyaki ecstasy dirampas.

Yusri berkata, daun kering disyaki ganja seberat 2.05kg, ketulan kristal disyaki methamphetamine (844g) dan dadah disyaki heroin (162g) dengan nilai keseluruhan RM5.42 juta turut ditemui.

“Polis juga merampas bahan kimia dan pelbagai peralatan untuk memproses dan membungkus dadah.”

Katanya, tiga kenderaan mewah termasuk sebuah Ford Mustang, seutas rantai dan cincin dianggarkan bernilai lebih RM763,693 turut disita.

Beliau berkata, hasil ujian air kencing mendapati empat suspek itu positif dadah jenis amphetamine dan semakan rekod mendapati suspek lelaki mempunyai sembilan rekod kesalahan lampau berkaitan kes jenayah.

Katanya, semuanya direman tujuh hari hingga 8 April bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.