Pintu tertutup, 2 lelaki cemas terperangkap di ruangan mesin ATM bank

Pintu tertutup, 2 lelaki cemas terperangkap di ruangan mesin ATM bank

Polis menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 12.10 tengah malam selepas pintu automatik bank terbabit tertutup.

Tangkap layar video tular menunjukkan dua lelaki terperangkap dalam ruangan mesin ATM bank di Mersing pada tengah malam Ahad.
MERSING:
Dua lelaki berdepan detik cemas apabila terperangkap kira-kira setengah jam di ruangan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) sebuah bank, di sini tengah malam Ahad lalu.

Ketua Polis Mersing, Abdul Razak Abdullah Sani berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 12.10 tengah malam selepas pintu automatik (roller shutter) bank terbabit tertutup.

Susulan itu, katanya, Unit Kereta Peronda IPD Mersing dan anggota bomba dikejarkan ke lokasi kejadian untuk membantu menyelamatkan mangsa.

“Bagaimanapun, pintu itu dibuka kakitangan bank berkenaan kira-kira 30 minit kemudian dan kedua-dua mangsa berjaya diselamatkan tanpa mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi Bernama semalam.

Beliau menasihati orang ramai peka dan mematuhi notis dikeluarkan mana-mana institusi perbankan mengenai waktu operasi dan amaran mengenai tempoh masa pintu ditutup secara automatik.

Terdahulu, tular sebuah video 18 saat dalam media sosial yang memaparkan dua lelaki terperangkap dalam bank dengan kehadiran beberapa anggota polis dan bomba di perkarangan bank itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.