Kunjungan hormat MIC ke atas Guan Eng cetus desas-desus

Kunjungan hormat MIC ke atas Guan Eng cetus desas-desus

MIC Pulau Pinang mengintai Bagan Dalam dan Perai yang dianggap kerusi tradisi MIC sejak 1970-an sehingga DAP mengambil alih pada 2008.

Lim Guan Eng mengadakan perbincangan dengan J Dhinagaran dan barisan MIC. (Gambar Facebook)
BUTTERWORTH:
Gambar pemimpin MIC Pulau Pinang mengadakan kunjungan hormat ke atas Pengerusi DAP, Lim Guan Eng Sabtu lalu menimbulkan desas-desus di tengah-tengah spekulasi parti itu berharap diperuntukkan “kerusi selamat” pada PRN akan datang.

Menurut sumber parti, MIC mengintai Bagan Dalam dan Perai, yang dianggap kerusi tradisinya sejak 1970-an sehingga DAP mengambil alih pada 2008. Kerusi itu kini dianggap kawasan pilihan raya sangat selamat buat DAP.

Bagaimanapun, Pengerusi MIC Pulau Pinang, J Dhinagaran memberitahu FMT, peruntukan kerusi itu tidak dibincangkan ketika kunjungan terbabit, sebaliknya mereka hanya bertukar pandangan mengenai perkara melibatkan negeri berkenaan.

“Saya tidak melobi sebarang kerusi. Kami mengadakan perbincangan baik dengan Lim mengenai hal Pulau Pinang. Presiden kami (SA Vigneswaran) akan membincangkan peruntukan kerusi dengan pemimpin di peringkat lebih tinggi.

“Sebagai sebahagian kerajaan perpaduan, kami akan bersama mereka memastikan ahli MIC mendapatkan pengundi untuk menyokong Pakatan Harapan (PH) pada PRN.”

Beliau berkata, kunjungan hormat itu dibuat memandangkan Barisan Nasional dan PH membentuk kerajaan persekutuan gabungan.

“Pelbagai perkara dibincangkan”, katanya tanpa mengulas lanjut dalam catatan Facebook.

Bagaimanapun, sumber MIC berkata, parti itu berharap dapat kembali ke arus perdana politik melalui kerajaan perpaduan, yang akan banyak bergantung kepada kerjasama PH.

Namun, sumber dalaman berkata, ia “hampir mustahil” untuk DAP melepaskan mana-mana kerusi yang kini dipegang ahli wakil rakyatnya yang berbangsa India kerana ia hanya mempunyai tiga daripada 40 kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang.

Mereka ialah P Ramasamy (Perai), M Sathees (Bagan Dalam) dan Jagdeep Singh Deo (Datuk Keramat), manakala PKR mempunyai A Kumaresan (Batu Uban).

“Hanya kerusi-kerusi ini yang mungkin dan DAP harus perlu benar-benar bermurah hati untuk menawarkan walaupun satu kerusi kepada mereka. Jelas sekali, ia tidak akan diterima dengan baik oleh akar umbi dan bakal calon,” katanya kepada FMT.

Ketua DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, sebarang rundingan kerusi adalah antara PH dan BN, bukannya parti individu.

“Bagaimanapun, PH Pulau Pinang belum memulakan rundingan dengan BN mengenai peruntukan kerusi,” kata ketua menteri itu.

Terdapat 51.4% pengundi Cina di Perai, dengan India membentuk 36.22%, Melayu 11.56% dan lain-lain 0.18%.

Di Bagan Dalam, terdapat 51.85% pengundi Cina, 25.81% pengundi India, 21.87% pengundi Melayu dan lain-lain sebanyak 0.47%.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.