Kawal semula pengeluaran ubat, kata ketua PSM

Kawal semula pengeluaran ubat, kata ketua PSM

Dr Michael Jeyakumar Devaraj berkata, kerajaan boleh mengurangkan perbelanjaan membeli ubat dengan meletakkan Pharmaniaga Bhd di bawah bidang kuasanya.

Pharmaniaga ditubuhkan selepas sebuah syarikat swasta membeli Makmal Ubat dan Stor milik Kementerian Kesihatan.
PETALING JAYA:
Kerajaan digesa mengawal semula pengeluaran ubat generik dan meletakkan pembekal farmaseutikal, Pharmaniaga Bhd di bawah bidang kuasanya.

Pengerusi Parti Sosialis Malaysia, Dr Michael Jeyakumar Devaraj, berkata dengan meletakkan semula pengeluaran ubat di bawah kerajaan seperti dahulu, boleh mengurangkan perbelanjaan membeli ubat-ubatan.

Sebelum ini, makmal dan stor ubat Kementerian Kesihatan mengeluarkan ubat generik untuk hospital kerajaan. Bagaimanapun, ia diswastakan di bawah perjanjian konsesi dengan sebuah syarikat swasta yang menjadi Pharmaniaga.

Jeyakumar memberitahu FMT, entiti yang diswastakan untuk perolehan ubat akan berusaha memaksimumkan keuntungan.

“Jadi kos ubat-ubatan mungkin 10% hingga 20% lebih mahal” kerana syarikat swasta terpaksa menjaga pemegang saham mereka.

“Kerajaan boleh menyelaras perolehan ubat untuk mendapatkan ubat generik lebih murah, tetapi lebih berkualiti,” kata doktor itu yang pernah menjadi Ahli Parlimen Sungai Siput selama dua penggal.

Jeyakumar berkata, harga saham rendah Pharmaniaga ketika ini merupakan peluang baik untuk kerajaan membeli syarikat itu.

Harga saham Pharmaniaga merosot daripada 44 sen kepada sekurang-kurangnya 22 sen, selepas diklasifikasikan sebagai syarikat Nota Amalan 17 (PN17) oleh Bursa Saham Februari lalu, menandakan ia mengalami tekanan kewangan.

Syarikat itu mencatatkan kerugian bersih terbesar RM664.39 juta pada suku keempat tahun kewangan 2022, dengan peruntukan RM552 juta bagi stok vaksin Covid-19 tidak terjual sehingga mendorong ia dikategorikan PN17.

Pharmaniaga ialah pemegang konsesi untuk penyediaan ubat dan bekalan perubatan kepada hospital dan klinik kerajaan, selain bertanggungjawab mendapatkan bekalan lebih satu pertiga atau lebih 700 ubat berjenama dan generik kerajaan.

Bekas timbalan menteri kesihatan, Dr Lee Boon Chye dilaporkan berkata, baki dua pertiga bekalan ubat datang daripada syarikat seperti Zuellig Pharma Sdn Bhd dan DKSH (M) Sdn Bhd.

Beliau berkata, perjanjian konsesi Pharmaniaga dijangka berakhir Jun dan terpulang kepada kerajaan sama ada akan melanjutkan atau membukanya kepada vendor lain.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.