
Dalam wawancara dengan Global Times, Loke berkata mana-mana kerajaan atau negara akan mempertimbangkan kos dan manfaat BRI sebelum bersetuju dengan projek itu.
“Mana-mana kerajaan atau negara yang menandatangani untuk BRI sepatutnya tahu apa yang mereka persetujui. Ini tidak boleh dilihat sebagai satu ‘perangkap hutang’,” katanya dipetik sebagai berkata.
Loke berkata, negara membangun patut mengambil peluang pada BRI kerana ia akan membantu mereka meningkatkan ekonomi, tetapi mesti dipertanggungjawabkan dengan keputusan yang dibuat.
BRI adalah inisiatif infrastruktur raksasa oleh China yang meliputi hampir seluruh dunia. Bagaimanapun, kritikan menuduh China mencipta perangkap hutang untuk negara membangun.
Ketika lawatan rasmi ke China baru-baru ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, inilah masanya BRI mendapat semula momentum selepas pandemik Covid-19 berakhir.
Bagaimanapun, dua ahli ekonomi memberi amaran supaya tidak terlibat lebih lanjut dengan BRI disebabkan risiko kepada ekonomi, memandangkan beban hutang Malaysia tinggi.
Susulan lawatan Anwar ke China, Loke berharap akan ada kerjasama lebih besar dengan negara itu bawah BRI terutama dalam bahagian infrastruktur
“Kami berharap kerjasama seperti itu akan menjadi situasi menang-menang di mana lebih kerjasama antara syarikat China dan Malaysia dalam projek ini.
“Sebagai contoh lebih penglibatan daripada syarikat China dalam bentuk pemindahan teknologi dan latihan kepada jurutera Malaysia,” katanya.
Loke berkata, Putrajaya juga mahu menarik lebih banyak syarikat China menubuhkan pangkalan serantau di Malaysia.
Terdahulu hari ini, Anwar menggambarkan lawatan empat harinya ke China sebagai kejayaan besar, dan berkata beberapa firma China bersetuju menjadikan Malaysia sebagai hab serantau yang baharu.