Pindah 62 kambing tanpa kebenaran, pemandu lori mengaku salah

Pindah 62 kambing tanpa kebenaran, pemandu lori mengaku salah

Abli Abdullah didenda RM10,000 selepas mengaku salah memindahkan 62 ekor kambing disyaki dari Thailand bernilai RM28,470 tahun lepas.

Pemandu lori Abli Abdullah mengaku salah memindahkan 62 ekor kambing dipercayai dari Thailand bernilai lebih RM28,000. (Gambar Bernama)
BANDAR PERMAISURI:
Seorang pemandu lori didenda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret Setiu setelah mengaku bersalah memindahkan 62 ekor kambing disyaki dari Thailand bernilai RM28,470 tanpa kebenaran pada tahun lepas.

Abli Abdullah, 46, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Ainis Abu Hassan Shaari yang turut memerintahkan 62 ekor kambing tersebut dilucutkan hak dan wang hasil jualan ternakan menjadi hasil kerajaan.

Lelaki itu didakwa memindahkan kesemua kambing berkenaan menggunakan lori jenis Hino tanpa kebenaran bertulis daripada pengarah Perkhidmatan Veterinar Terengganu atau mana-mana pihak berkuasa veterinar, pada 11.15 malam di tepi jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu, 13 Okt 2022.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Perenggan i (b) Perintah Menteri Besar bagi Kawalan Penyakit Kuku Dan Mulut Dan Hawar Berdarah bagi Negeri Terengganu yang diwartakan di bawah Subseksyen 36(1) Akta Binatang 1953 dan boleh dihukum mengikut Subseksyen 36(7) akta sama yang membawa denda maksimum RM15,000.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar Mohd Shahihan Mohd Tahar manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.