
Low Mei Yee berkata, kakitangan yang bekerja di tempat awam ini juga harus dididik tentang autisme dan dilatih cara mengendalikan penghidapnya, serta cara membantu keluarga mereka apabila berlakunya krisis.
“Kebimbangan terbesar kami bagi kanak-kanak autisme ialah ketidakpekaan yang mungkin mereka hadapi daripada masyarakat, terutamanya tempat di mana kanak-kanak itu memerlukan perkhidmatan, seperti sekolah, restoran dan tempat kerja,” katanya.
“Jika orang ramai tidak cukup sedar tentang autisme dan ciri-cirinya, mereka mungkin salah faham dan menganiaya orang autisme yang keluar ke tempat awam,” katanya.
Satu ruang selamat seperti itu adalah di Sunway Putra Mall, di mana pada 2019 mereka menyediakan ciri-ciri bagi memenuhi keperluan penghidap autisme seperti hari membeli-belah rangsangan deria rendah dan bilik tenang.
Pusat beli-belah itu merancang untuk bekerjasama dengan kerajaan tahun ini untuk membantu empat keluarga yang mempunyai ahli keluarga autisme dengan melengkapi mereka dengan kemahiran hidup, keperluan harian dan pendidikan.
Ketua pemasaran Sunway Putra Mall Ai Vee Tan berkata, matlamatnya adalah untuk mendidik orang ramai dan organisasi supaya memahami, menerima dan merangkumi komuniti autistik dan “neurodiverse”.
“Ini mengurangkan kebimbangan dan ketakutan serta membantu golongan ‘neurodiverse’ berkomunikasi, sekali gus meringankan cabaran yang mereka hadapi serta orang di sekeliling mereka.
“Penghidap autisme mempunyai pelbagai keperluan, cabaran dan kebolehan. Komunikasi dan pembelajaran dari seorang ke seorang adalah berbeza,” katanya.
Mereka yang mengalami gangguan spektrum autisme mempunyai masalah berkomunikasi dan berhubung dengan orang lain dan dunia luar, serta sering dianggap sebagai nakal, membantah atau kurang ajar.
Persatuan Autisme Kebangsaan Malaysia berkata, autisme sering dikesan pada usia tiga tahun. Mereka yang mempunyai autisme mungkin menonjolkan corak aktiviti dan tingkah laku yang tidak tipikal, seperti tumpuan kepada butiran, reaksi luar biasa terhadap rangsangan, dan kesukaran beralih daripada satu aktiviti ke aktiviti lain.
Walaupun sesetengah penghidap autisme memerlukan penjagaan dan sokongan sepanjang hayat, ada yang lain boleh hidup berdikari atau dengan bantuan minimum.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan satu daripada 100 kanak-kanak menghidap autisme, dengan empat kali lebih ramai kanak-kanak lelaki didiagnosis berbanding kanak-kanak perempuan.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengisytiharkan 2 April sebagai Hari Kesedaran Autisme Sedunia.