Kereta bertembung lori, budak 5 tahun maut, 4 mangsa lain parah

Kereta bertembung lori, budak 5 tahun maut, 4 mangsa lain parah

Dalam kejadian di KM49, Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu itu semalam, kereta yang dinaiki lima sekeluarga itu dipercayai memasuki laluan sebuah lori.

Pelanggaran antara sebuah kereta dan lori di Pasir Puteh, Kelantan, semalam menyebabkan seorang kanak-kanak maut, manakala empat yang lain cedera parah. (Gambar Freepik)
PETALING JAYA:
Seorang kanak-kanak berusia lima tahun maut manakala empat lagi ahli keluarganya cedera parah dalam sebuah kemalangan di Pasir Puteh, Kelantan semalam.

Dalam kejadian pada 3.30 petang itu, kereta dinaiki kesemua mangsa dipercayai bertembung dengan sebuah lori, menyebabkan kanak-kanak tersebut maut di lokasi kejadian, iaitu di KM49, Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu.

Menurut polis, siasatan awal mendapati semasa kejadian, lori yang dipandu seorang lelaki berusia 46 tahun bersama kelindan itu dari arah Kota Bharu menghala ke Kuala Terengganu.

“Setiba di lokasi kejadian, kereta yang dinaiki lima sekeluarga itu dipercayai memasuki laluan lori terbabit.

“Pelanggaran itu menyebabkan kanak-kanak berkenaan maut, manakala yang lain cedera parah,” kata Ketua Polis Pasir Puteh Zaizul Rizal Zakaria, lapor Sinar Harian..

Zaizul meminta orang ramai yang mempunyai maklumat tampil membantu siasatan dengan menghubungi talian 010-4505507.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.