Doktor mogok: Semua hospital diarah ‘berjaga-jaga’ bermula esok

Doktor mogok: Semua hospital diarah ‘berjaga-jaga’ bermula esok

Dr Zaliha Mustafa berkata pihaknya akan memastikan perkhidmatan kesihatan berjalan seperti biasa sebagai persediaan berdepan mogok dikatakan berlangsung selama tiga hari.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa, berkata semua doktor kontrak tertakluk kepada integriti sebagai penjawat awam dan etika perkhidmatan awam.
PETALING JAYA:
Semua hospital di seluruh negara diarah berada dalam “mod berjaga-jaga” bermula esok untuk berdepan kemungkinan kumpulan doktor kontrak melakukan mogok, selama tiga hari.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa, berkata pemantauan akan dilaksanakan Kementerian Kesihatan (KKM) di fasiliti kesihatan bagi memastikan perkhidmatan berjalan seperti biasa.

“Dari segi pelan kecemasan, kita buat juga pemantauan dan pengarah kesihatan negeri serta hospital dalam mod berjaga-jaga,” katanya menurut Berita Harian.

Zaliha ketika mengulas lanjut, berkata beliau memahami kesukaran dialami golongan berkenaan, namun mogok bukan penyelesaiannya.

“KKM ada mengeluarkan peringatan kepada doktor dan mengingatkan mereka mengenai kepentingan perkhidmatan kesihatan,” katanya.

Mengulas sama ada KKM akan mengambil tindakan terhadap doktor kontrak terlibat mogok, Zaliha berkata, mereka tertakluk kepada integriti sebagai penjawat awam dan etika perkhidmatan awam.

Kumpulan dikenali, Mogok Doktor Malaysia, sebelum ini berkata, lebih 8,000 doktor kontrak akan melakukan mogok bermula 3-5 Apr dengan mengambil cuti kecemasan atau cuti sakit, sebagai membantah “sistem tidak adil dan gaji rendah” dalam sektor penjagaan kesihatan awam.

Semalam, KKM mengeluarkan infografik menyenaraikan bentuk perhimpunan haram yang dianggap melanggar surat edaran dikeluarkan ketua pengarah perkhidmatan awam (JPA), bertarikh 30 Jun 2011.

Ia termasuk, penglibatan aktif di luar masa bekerja, menggunakan masa pejabat dan meninggalkan pejabat untuk melihat dan menyertai perhimpunan.

Selain itu, bentuk perhimpunan haram juga merangkumi menggunakan peralatan pejabat seperti mesin cetak, mesin penyalin komputer untuk mencetak dan mengedar risalah berkaitan perhimpunan seumpama itu.

“Sekiranya cukup bukti menunjukkan pegawai terlibat dalam kegiatan tersebut, maka pegawai boleh dikenakan tindakan tatatertib selaras Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan & Tatatertib) 1993,” kata KKM.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.