Doktor kontrak: Kerajaan jamin keputusan menang-menang, kata Zahid

Doktor kontrak: Kerajaan jamin keputusan menang-menang, kata Zahid

Timbalan perdana menteri berkata sebarang keputusan berkait isu doktor kontrak akan dibawa kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim sebelum keputusan muktamad dibuat.

Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan akan menyelesaikan isu doktor kontrak mengikut situasi menang-menang.
KUALA LUMPUR:
Kerajaan memberi jaminan akan memuktamadkan keputusan yang bersifat ‘tiada yang rugi, tiada yang terpinggir’ dalam menyelesaikan isu membabitkan doktor kontrak.

Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi yang mempengerusikan Jawatankuasa Peringkat Tertinggi bagi menangani isu itu berkata, sebarang keputusan berkait doktor kontrak akan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebelum keputusan muktamad dibuat.

Zahid berkata, isu doktor kontrak perlukan pembelaan dan harus mengikut tatacara dan skim perkhidmatan kerajaan.

“Tentunya ada beberapa cadangan yang telah diperbincangkan untuk meletakkan mereka sebagai doktor bertaraf perkhidmatan tetap selain beberapa syarat skim baharu akan diperbincangkan.

“Saya tahu masalah ini masalah lama tetapi saya yakin ianya boleh diselesaikan, Insya-Allah. Saya akan mengadakan perbincangan secara terperinci dan untuk memuktamadkannya saya pasti akan bertemu dengan perdana menteri, bagi membincangkan keputusan yang muktamad dengan situasi menang-menang,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menghadiri Majlis Santunan Kasih Ramadan di PPR Seri Semarak.

Semalam Jemaah Menteri bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Peringkat Tertinggi bagi menangani isu doktor kontrak yang belum ada penyelesaian tuntas.

Perkara itu diumumkan Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa yang menjelaskan jawatankuasa itu akan menggabungkan beberapa kementerian dan agensi, termasuk pembabitan Ketua Setiausaha Negara, Mohd Zuki Ali.

Sebelum ini kumpulan doktor kerajaan merancang mengadakan mogok di seluruh negara bermula 3 hingga 5 April.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.