
Khairy berkata, keadaan itu berlaku susulan tiada akta untuk mengawal selia penjualan produk vape kerana Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Tembakau dan Merokok masih belum diluluskan parlimen.
“Walaupun percukaian produk cecair vape diumumkan sebelum ini tetapi saya tidak menandatangani warta untuk mengecualikan produk tersebut dari senarai Akta Racun. Pendirian saya sebelum ini mesti ada akta baharu.
“Jika tiada akta baharu, berlaku kelompongan dalam undang-undang kerana vape tidak dapat dikawal langsung.
“Jika pengecualian diberikan sebelum akta baharu, tiada tindakan boleh diambil terhadap penjualan dan pemasaran vape. Sekarang ia bebas untuk semua,” katanya dalam satu kenyataan di Twitter.
Bekas Ahli Parlimen Rembau itu berkata, sebab itu beliau beliau dan Kementerian Kesihatan ketika itu bawa Akta Kawalan Merokok tetapi tidak sempat diluluskan.
“Saya harap Kementerian Kesihatan segera membentangkan RUU itu untuk menutup kelompongan undang-undang yang ada demi kesihatan awam,” katanya.
Terdahulu Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata, beliau akan membentangkan RUU baharu kawalan tembakau dan vape pada sesi Parlimen pada Mei ini.
Perkembangan terbaharu itu susulan keputusan kontroversi kerajaan semalam yang mengeluarkan cecair dan gel nikotin dari senarai Akta Racun.
Pada Februari lalu, Kementerian Kesihatan berkata pihaknya mahu membentangkan semula RUU itu dalam masa terdekat supaya penguatkuasaan boleh bermula pada tahun depan.
Dalam warta yang disiarkan semalam, Kementerian Kesihatan berkata, pengecualian daripada Akta Racun membolehkan cecair dan gel nikotin digunakan dalam produk e-rokok dan vape.
Zaliha berkata, pengecualian cecair dan gel nikotin dari senarai Akta Racun itu selaras dengan keputusan kerajaan untuk mengenakan cukai terhadap produk tersebut.