Menteri nak lawat Sarawak kena maklum awal, kata Abang Jo

Menteri nak lawat Sarawak kena maklum awal, kata Abang Jo

Premier Sarawak itu berkata, menteri juga perlu memaklumkan setiap projek yang dirancang oleh kementerian masing-masing di Sarawak.

Abang Johari Abang Openg berkata pemakluman awal akan membolehkan Sarawak mengatur dan menyelaras supaya lawatan menteri persekutuan dapat dijalankan di kawasan yang tepat. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Premier Sarawak Abang Johari Abang Openg meminta mana-mana menteri yang mahu mengadakan lawatan kerja ke negeri itu supaya memaklumkan jadual lawatan itu lebih awal kepada kerajaan negeri.

Abang Johari berkata, mereka juga perlu memaklumkan setiap projek yang dirancang oleh kementerian masing-masing di Sarawak, lapor Harian Metro.

Katanya, ia selaras dengan saranan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang meminta semua menteri pusat mematuhi protokol kerajaan Sarawak dan bekerjasama dengan pemimpin tempatan dalam pelaksanaan sesuatu projek di negeri itu.

“Pemakluman lebih awal itu juga bagi membolehkan kerajaan Sarawak mengatur dan menyelaras supaya lawatan mereka dapat dijalankan di kawasan yang tepat.

“Pegawai kerajaan Sarawak juga perlu mengetahui tujuan lawatan dan apa projek yang hendak dilaksanakan,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Kuching.

Sementara itu, Abang Johari berkata, mesyuarat yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof membincangkan projek Persekutuan bernilai bawah RM50 juta yang dibenarkan untuk diurus kerajaan Sarawak.

“Banyak projek seperti fasiliti pendidikan dan kesihatan serta infrastruktur jalan raya luar bandar yang bernilai bawah RM50 juta akan kita laksanakan dengan peruntukan sebanyak RM4 bilion daripada kerajaan persekutuan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.