Kerajaan bentang RUU baharu kawal produk vape, kata Zaliha

Kerajaan bentang RUU baharu kawal produk vape, kata Zaliha

Menteri Kesihatan berkata, RUU itu akan dibentang pada sesi persidangan Parlimen pada Mei ini.

Zaliha Mustafa berkata, rang undang-undang baharu itu akan mengawal selia semua produk merokok termasuk bahan merokok yang mengandungi nikotin.
PETALING JAYA:
Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata, beliau akan membentangkan rang undang-undang (RUU) baharu kawalan tembakau dan vape pada sesi Parlimen pada Mei ini.

Perkembangan terbaharu itu susulan keputusan kontroversi kerajaan semalam yang mengeluarkan cecair dan gel nikotin dari senarai Akta Racun.

Zaliha tidak menjelaskan sama ada RUU baharu itu berbeza dengan RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 yang dibentangkan pada sesi Parlimen sebelum ini.

Pada Februari lalu, Kementerian Kesihatan berkata pihaknya mahu membentangkan semula RUU itu dalam masa terdekat supaya penguatkuasaan boleh bermula pada tahun depan.

“Bagi memastikan terdapat kawalan menyeluruh terhadap sediaan nikotin atau gel mengandungi nikotin di dalam cecair rokok elektronik atau vape, kementerian akan membentangkan RUU baharu yang akan mengawal selia semua produk merokok termasuk bahan merokok yang mengandungi nikotin,” katanya dalam kenyataan.

Zaliha berkata, RUU itu sudah menjalani sesi libat urus dengan semua pihak berkepentingan seperti Ahli Parlimen, badan bukan
kerajaan, badan profesional dan pihak lain yang berkaitan.

Tambahnya, kementerian akan mempergiatkan kempen advokasi kesedaran bahaya merokok termasuk penggunaan rokok elektronik atau vape menerusi pelaksanaan program pencegahan merokok dan intervensi berhenti merokok di sekolah dan institusi pengajian tinggi.

Zaliha dikritik selepas menggunakan kuasa menteri untuk mengenepikan keputusan Lembaga Racun yang sebulat suara menolak untuk mengeluarkan cecair dan gel nikotin dari Akta Racun.

Dalam warta yang disiarkan semalam, Kementerian Kesihatan berkata, pengecualian daripada Akta Racun membolehkan cecair dan gel nikotin digunakan dalam produk e-rokok dan vape.

Zaliha berkata, pengecualian cecair dan gel nikotin dari senarai Akta Racun itu selaras dengan keputusan kerajaan untuk mengenakan cukai terhadap produk tersebut.

Dalam pengumuman berasingan, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Anwar Ibrahim berkata, cecair dan gel nikotin yang digunakan untuk e-rokok akan dikenakan cukai 40 sen setiap mililiter bermula hari ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.