
Zahid yang juga presiden Umno berkata, beliau akan berbincang dengan Ketua Menteri Melaka Ab Rauf Yusoh terlebih dahulu sebelum membuat keputusan mengenai pelantikan exco negeri.
“Saya berhasrat agar barisan exco mengandungi komposisi kerajaan perpaduan,” kata Zahid lapor Bernama.
“Walaupun di Melaka BN dan Umno menguasai kerajaan negeri, alangkah baiknya exco kerajaan negeri menggambarkan kebersamaan dan perkongsian kuasa dengan Adun yang dipilih rakyat dalam kerajaan perpaduan,” katanya kepada wartawan dalam satu majlis di Bagan Datuk, Perak.
Zahid yang juga timbalan perdana menteri berkata, kestabilan politik di Melaka itu akan membantu kemenangan kerajaan perpaduan pada pilihan raya negeri di enam negeri tidak lama lagi.
BN dan Pakatan Harapan (PH) adalah sebahagian kerajaan perpaduan yang diketuai Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Ketika ini, BN dan PH menubuhkan kerajaan perpaduan di Perak dan Pahang.
Rauf yang mengangkat sumpah sebagai ketua menteri Melaka ke-13 semalam berkata, beliau akan mengumumkan barisan exco dalam tempoh 48 jam selepas mendapat nasihat daripada Zahid.
Beliau mengangkat sumpah sebagai ketua menteri selepas Sulaiman Ali meletak jawatan pada Khamis.