Sistem IT diceroboh, AKPK tolak permintaan tebusan

Sistem IT diceroboh, AKPK tolak permintaan tebusan

Agensi itu berkata, pelayannya yang mengandungi data mungkin diakses penjenayah siber secara haram dan siasatan sudah dimulakan.

AKPK berkata, ia akan terus berusaha mengurangkan kesan pencerobohan itu demi melindungi data pelanggan.
PETALING JAYA:
Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) menolak permintaan tebusan susulan pencerobohan ke atas sistem teknologi maklumatnya.

Katanya, pelayan AKPK yang mengandungi data mungkin diakses secara haram oleh penjenayah siber dan ia sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan.

“AKPK sudah memaklumkan pihak berkuasa, mengambil langkah melindungi pelayan kami dan memulakan penyiasatan bersama pakar keselamatan siber.

“Akibat pencerobohan itu, kami memutuskan untuk menyahaktifkan beberapa sistem operasi kami buat sementara waktu untuk mencegah risiko selanjutnya,” katanya menurut Harian Metro.

AKPK berkata, operasi sistemnya akan dikembalikan secara beransur-ansur selepas ia selamat berbuat demikian.

“Pada masa ini, kami sudah melaksanakan pengaturan operasi sesuai supaya pelanggan masih boleh mendapatkan perkhidmatan daripada kami selancar mungkin,” katanya sambil memohon maaf atas kejadian itu.

Sejak 2006, katanya, AKPK komited berkhidmat kepada pelanggan dan orang awam dengan menawarkan perkhidmatan percuma dalam memperkasakan rakyat Malaysia bagi meningkatkan daya tahan kewangan mereka.

Menurutnya, ia akan terus berusaha mengurangkan kesan pencerobohan itu demi melindungi data pelanggan, serta menghargai sokongan dan timbang rasa pelanggan dalam tempoh sukar ini.

“Pelanggan AKPK yang mahu menghubungi kami boleh berbuat demikian menerusi pusat panggilan khusus di talian 03-26167766 atau melayari pejabat AKPK untuk mencari cawangan kami berhampiran.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.