
“Bagi kami, Pejuang belum selesai. Biar masa menentukan. Biar rakyat juga menilai. Pejuang masih lagi bersih putih berseri bak benderanya yang berkibar di setiap pelusuk Negara. Rakyat akan menilai serta kita akan biarkan mereka menilai,” katanya di Facebook.
Beliau turut membidas kenyataan pihak tertentu mengenai pembubaran Pejuang atas alasan memberi laluan ahlinya menyertai Perikatan Nasional (PN) bagi mengelakkan isu pecah undi.
“Ada yang kata Pejuang kecil dan pemecah undi. Ya, Pejuang hanya dibentuk kurang dari tiga tahun, tetapi tidakkah Pejuang matang dalam isu pecah undi ini?
“Bukankah Pejuang sudah memulakan langkah untuk menyatukan semua parti gabungan Melayu atas tiket Melayu berwibawa mahupun menolak rasuah dan kleptokrat sebelum PRU15 lagi?”
Bagaimanapun, katanya usaha itu mendapat respons dingin daripada rakan politik sealiran.
“Risau untuk bergabung kerana kedudukan kerusi masing-masing? Kalau begitu, jangan berani laung kononnya hendak menjaga hak orang Melayu, bangsa serta agama lain. Negara hanya terjamin oleh gabungan yang besar, kuat dan stabil.
“Apabila ada unsur mainan politik, kedudukan dan kerusi serta kepentingan peribadi, maka jadilah seperti Pakatan Harapan (PH) 1.0, PN di bawah Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri Yaakob serta PH 2.0 pimpinan Anwar Ibrahim. Langsung tidak stabil.”
Jumaat lalu, Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan berkata, PN menolak permohonan Pejuang menyertai gabungan itu kerana tidak mahu pembahagian kerusi antara parti gabungan terganggu menjelang PRN.
Katanya, lebih wajar Pejuang dibubarkan dan ahlinya menyertai PAS atau Bersatu jika mahu terus memperjuangkan bangsa dan agama.
“Itu lebih baik berbanding banyakkan parti kecil kerana akhirnya ia akan menimbulkan masalah.”