Pemain industri bimbang ‘tugas lain’ ketua Suruhanjaya Tenaga

Pemain industri bimbang ‘tugas lain’ ketua Suruhanjaya Tenaga

Pelantikan Rashdan Yusof menimbulkan kebimbangan mengenai konflik kepentingan kerana beliau juga timbalan pengarah urusan kumpulan Gamuda Bhd.

Pelantikan Rashdan Yusof sebagai ketua Suruhanjaya Tenaga bulan lepas mengejutkan industri. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pemain industri dan perniagaan kecewa apabila kerajaan berdiam diri berhubung kebimbangan mengenai konflik kepentingan susulan pelantikan pengerusi Suruhanjaya Tenaga yang baharu, menurut sumber.

Sumber itu berkata, pelantikan Rashdan Yusof sebagai ketua Suruhanjaya Tenaga bulan lepas mengejutkan industri.

“Walaupun perubahan ketua dijangka berlaku dengan pertukaran kerajaan, pelantikan Rashdan adalah di luar jangkaan,” kata sumber yang enggan namanya disiarkan.

“Beliau timbalan pengarah urusan kumpulan Gamuda Bhd, yang terlibat dalam perniagaan tenaga boleh baharu. Kini beliau juga ketua pengawal selia tenaga. Terang-terangan berlaku konflik kepentingan,” kata sumber itu kepada FMT.

Menurut laman web Gamuda, Rashdan yang menyertai syarikat itu pada 2018 dan menganggotai lembaga pengarah, turut disenaraikan sebagai pengarah gantian kepada pengarah urusan kumpulan Lin Yun Ling.

Syarikat itu ialah pemain utama dalam pasaran tenaga boleh baharu dan pada Disember lepas mengumumkan ia akan membelanjakan RM2 bilion untuk mengembangkan perniagaannya.

Setakat ini, ia telah memperoleh 30% kepentingan dalam ERS Energy Sdn Bhd, sebuah syarikat yang terlibat dalam tenaga solar.

“Perniagaan lain kini tertanya-tanya bagaimana kerajaan boleh membenarkan seorang eksekutif berpangkat tinggi dalam sebuah syarikat perniagaan tenaga boleh baharu mengetuai badan kawal selia bagi industri itu.

“Dalam mengembangkan perniagaan tenaga boleh baharunya, Gamuda perlu mendapatkan kelulusan daripada Suruhanjaya Tenaga untuk semua jenis keputusan dan projek,” kata sumber.

Sumber itu berkata, syarikat tenaga “bingung” tentang bagaimana pelantikan Rashdan boleh dipertimbangkan kerana ia tidak adil bagi pesaing Gamuda.

“Walaupun Rashdan akan meletakkan jawatannya di Gamuda, pelantikannya sebagai pengerusi Suruhanjaya Tenaga sudah tercemar.”

Kebimbangan sumber tersebut berhubung konflik kepentingan bukanlah pandangan yang asing. Sebuah syarikat penyelidikan antarabangsa telah membangkitkan kebimbangan ini melalui nota yang dihantar kepada pelanggannya.

“Kami percaya Rashdan harus melepaskan sebarang peranan dalam Gamuda. Ini boleh menimbulkan risiko ‘orang penting’, memandangkan beliau bertanggungjawab memacu usaha niaga tenaga boleh baharu kumpulan itu,” katanya dalam nota tersebut.

“Bagaimanapun, kami yakin Gamuda mempunyai bakat dan sumber untuk meminimumkan gangguan sekiranya Rashdan meninggalkannya.

“Sebagai alternatif, Gamuda boleh mengelak penglibatan lanjut dalam pasaran tenaga untuk meredakan sebarang kebimbangan yang berpotensi timbul mengenai konflik kepentingan tersebut.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.