
Katanya, syarikat itu memberi komitmen anak syarikatnya, Pharmaniaga Logistics Sdn Bhd akan terus membekalkan lebih 700 ubat dan produk lain, serta ia akan “terus kuat dan berdaya saing”.
Pharmaniaga Logistics ialah syarikat konsesi dilantik kerajaan untuk membekalkan ubat dan produk lain.
Zaliha berkata, Persatuan Industri Farmaseutikal Malaysia dan Persatuan Farmaseutikal Malaysia turut memberi jaminan akan bekerjasama dalam memastikan bekalan tidak terjejas.
Dua persatuan itu mengadakan mesyuarat dengan Pharmaniaga hari ini. Zaliha berkata, Pharmaniaga memberi kemas kini berhubung keadaan semasa kumpulan itu dan kelewatan bayaran kepada vendornya.
Pada 27 Feb lalu, Pharmaniaga mengumumkan ia diletakkan bawah klasifikasi Nota Amalan 17 (PN17), klasifikasi untuk syarikat mengalami masalah kewangan, selepas mencatat kerugian bersih terbesar RM664.39 juta dalam suku keempat berakhir 31 Dis 2022.
Kumpulan farmaseutikal itu berkata, ia turut menyediakan peruntukan RM552.3 juta bagi “pergerakan stok vaksin Covid-19 yang perlahan” sehingga mendorong ia dikategorikan PN17.
Minggu lalu, Pengarah Eksekutif Persatuan Farmaseutikal Malaysia, Chan Li Jin dilaporkan berkata, keadaan kewangan Pharmaniaga menyebabkan “ketidakpastian dan kebimbangan” dalam kalangan pembekal ubat.
Semalam, Pharmaniaga memberi jaminan kepada pembekalnya bahawa kelewatan bayaran tidak dijangka itu akan diselesaikan tidak lama lagi.