
Presidennya Adnan Mat berkata, langkah menyerap petugas perubatan berstatus kontrak ke dalam sistem perjawatan tetap dengan caruman KWSP akan melibatkan pindaan kepada Akta Pencen 1980.
“Cuepacs bimbang pindaan Akta Pencen 1980 akan memberi kesan kepada semua penjawat awam di masa akan datang apabila mereka tidak lagi dibenarkan memilih skim tetap berpencen ataupun caruman KWSP.
“Sedangkan perkara ini sememangnya sudah sedia ada dalam Akta Pencen 1980 yang memberi pilihan kepada penjawat awam sama ada memilih skim pencen atau KWSP,” katanya dalam kenyataan.
Adnan sebelum itu merujuk tindakan Kementerian Kesihatan (KKM) yang mengadakan perbincangan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk menyerapkan petugas perubatan berstatus kontrak ke dalam sistem perjawatan tetap tanpa diberikan pencen.
Semalam Menteri Kesihatan Zaliha Mustafa berkata, langkah yang diambil pihaknya bagi menangani bebanan tugas yang melebihi kapasiti sumber sedia ada serta untuk mengurangkan beban skim berpencen ditanggung negara ketika ini yang mencecah RM29.1 bilion pada 2021.
Mengulas lanjut Adnan berkata, Cuepacs mengalu-alukan usaha yang dilakukan KKM memandangkan sektor kesihatan negara kekurangan sumber manusia bagi memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
Bagaimanapun katanya, kerajaan tidak harus hanya memfokuskan isu pegawai perubatan berstatus kontrak sahaja kerana masih terdapat puluhan ribu lagi perjawatan dalam KKM dan juga kementerian lain yang juga berstatus sama serta menunggu masa untuk ditamatkan perkhidmatan.
“Mereka juga berada di sektor yang kritikal serta perlu diberi perhatian yang sama oleh kerajaan.
“Sejak sekian lama Cuepacs berpendirian lantikan kontrak dalam kalangan penjawat awam, terutama dalam sektor kesihatan ini tidak sepatutnya diamalkan,” katanya.
Sementara itu, Adnan menyeru semua penjawat awam termasuk petugas di sektor kesihatan terus fokus melaksanakan tugas kerana kegagalan dalam sistem penyampaian perkhidmatan awam akan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap mereka dan kerajaan.
“Seperti tindakan bermogok ia tidak menyelesaikan sebarang permasalahan malahan boleh mengakibatkan lebih banyak masalah terutama kepada rakyat yang mahukan perkhidmatan terbaik daripada penjawat awam,” katanya.