Hasrat tunai umrah punah, jemaah serbu agensi tuntut bayaran balik

Hasrat tunai umrah punah, jemaah serbu agensi tuntut bayaran balik

Bakal jemaah mendakwa agensi itu sehingga kini belum membuat pembayaran semula seperti dijanjikan.

Bakal jemaah umrah menyerbu pejabat sebuah agensi pelancongan di Putrajaya untuk meminta bayaran mereka dikembalikan. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Hasrat lebih 100 bakal jemaah menunaikan umrah pada Ramadan kali ini punah selepas agensi menguruskan urusan ibadat itu memaklumkan ia ditangguhkan.

Namun, apa lebih dikesali bakal jemaah, agensi itu sehingga kini belum membuat sebarang pembayaran semula.

Seorang bakal jemaah, Zalina Wahab, memberitahu FMT dia sepatutnya berangkat bersama 13 yang lain pada 26 April ini, dan sudah membuat pembayaran RM118,860 kepada agensi itu.

Katanya, selepas membuat pembayaran penuh dia langsung tidak mendapat maklumat mengenai rombongan itu malah apabila ditanya tiada maklum balas diterima.

“Kami cuba menghubungi semua kakitangan agensi terbabit tapi malangnya tiada seorang pun yang menjawab panggilan dan membalas WhatsApp.

“Kami dijanjikan akan diberi pengesahan penerbangan dan visa dalam masa seminggu dari tarikh surat, tapi sampai hari ini kami belum menerima maklum balas,” katanya memaklumkan masih ada yang tidak menerima bayaran balik sejak 2019.

Seorang lagi bakal jemaah, Marlinda Mokhtar, berkata dia mengesyaki wujud penipuan dalam pengurusan apabila bayaran balik dijanjikan kepadanya tidak dibuat mengikut tempoh dikatakan.

“Kami memang yakin ada penipuan berlaku, mereka beritahu kami akan buat pembayaran dalam tempoh 14 hari lepas itu, bila kami dapat tahu kenyataan mereka kepada polis, mereka memang ada isu dan tidak boleh buat pembayaran dalam tempoh terdekat.

“Kami memang kesal, ini bukan agensi kecil, orang ramai kenal, kami pilih agensi ini tak kisah pun bayar lebih sebab kami percaya mereka, tetapi bila jadi seperti ini kami kecewa sangat, macam saya dan suami kami dah berhabis RM21,000,” katanya.

Hari ini media dimaklumkan, kira-kira 60 bakal jemaah umrah menyerbu pejabat sebuah agensi umrah, haji dan pelancongan itu bagi menuntut semula bayaran yang dijelaskan.

Sementara itu, agensi syarikat pengendali terbabit menerusi kenyataan berkata, penangguhan trip tersebut disebabkan kenaikan mendadak kos dari segi penginapan dan tiket kapal terbang.

Ia berikutan permintaan tinggi seluruh dunia selepas kelonggaran pada sekatan Covid -19 di Arab Saudi berbanding Ramadan tahun sebelumnya.

Agensi itu memaklumkan, setiap bakal jemaah diberi tiga pilihan sama ada membatalkan pakej, menangguhkan trip ke bulan berikutnya atau membayar tambahan pakej jika masih mahu meneruskan perjalanan.

FMT mendapatkan agensi itu untuk memberikan penjelasan berhubung kelewatan bayaran balik kepada peserta.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.