Bangkit 2 isu sensitif apabila jumpa Xi, PM diberitahu

Bangkit 2 isu sensitif apabila jumpa Xi, PM diberitahu

Pertikaian Laut China Selatan dan dakwaan penganiayaan terhadap golongan Uighur mungkin akan dibincangkan secara sulit demi menjaga kepentingan dan memelihara hubungan dua hala.

Anwar Ibrahim mesti membangkitkan isu Laut China Selatan dan golongan Uighur ketika bertemu Xi Jinping tanpa mengira sensitiviti dan kemungkinan tindak balas daripada Beijing, kata penganalisis.
PETALING JAYA:
Dua pakar dasar luar menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim agar membangkitkan dua isu penting apabila bertemu Presiden China Xi Jinping dalam kunjungan sulungnya ke Beijing, yang menurut mereka, akan membuktikan beliau konsisten dalam prinsipnya.

Isu-isu ini dijangka akan dibincangkan secara sulit demi menjaga kepentingan serta memelihara hubungan dengan kuasa besar itu.

Collins Chong, penganalisis hal ehwal luar negara dan strategi di Universiti Malaya (UM) berkata, Anwar harus mengemukakan perkara berhubung pertikaian wilayah Laut China Selatan dan layanan buruk China terhadap minoriti umat Islam Uighur di Xinjiang.

Angeline Tan, seorang penyelidik dasar luar negara di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) yang pakar mengenai China, turut bersetuju.

Chong berkata, Anwar mesti membangkitkan kedua-dua isu itu tanpa mengira sensitiviti mereka dan kemungkinan tindak balas daripada Beijing.

“Anwar perlu berpegang teguh pada kelayakan dan pendirian tegasnya dalam menegakkan hak asasi manusia, kebebasan dan demokrasi.

“Beliau telah membina rekod prestasinya berdasarkan nilai dan prinsip sedemikian,” katanya kepada FMT.

Chong mengakui Anwar tentunya sedar tentang implikasi membangkitkan isu-isu ini dengan panjang lebar secara terbuka atau semasa sidang media.

“Namun, jika beliau mengelak dan mengukuhkan lagi kebimbangan rakyat Malaysia, sudah pasti beliau akan menerima kritikan daripada orang ramai dan masyarakat global.”

Tan berkata, penting bagi Anwar untuk membangkitkan isu Laut China Selatan kerana ia melibatkan kedaulatan dan integriti wilayah Malaysia.

China telah mengekalkan tuntutan kedaulatan ke atas Laut China Selatan, yang sebahagiannya turut dituntut oleh Malaysia, Taiwan, Filipina, dan Brunei.

Chong berkata, pembangkang akan meneliti sama ada Anwar akan membangkitkan isu ini dengan Xi dan menggunakan kegagalannya berbuat demikian sebagai “peluru politik” terhadapnya.

Tan berkata, Anwar sebelum ini menekankan layanan China terhadap golongan Uighur dan meminta Beijing mengiktiraf hak mereka atas kebebasan beragama.

Kumpulan hak asasi manusia menuduh China melakukan kekejaman terhadap golongan Uighur, termasuk melakukan pemandulan paksa dan keganasan seksual terhadap wanita serta menjadikan mereka buruh paksa. China telah menafikan dakwaan itu.

“Anwar diharapkan agar membangkitkan isu Uighur,” kata Tan kepada FMT.

“Jika beliau tidak berbuat demikian, ini akan menunjukkan beliau tidak konsisten dalam prinsipnya.”

Sementara itu, Noor Farida Mohd Arrifin, ahli kumpulan bekas penjawat awam G25 berkata, Anwar sepatutnya membangkitkan isu tuntutan bertindih di Laut China Selatan tetapi mesti mengelak menyentuh isu Uighur berikutan wujud laporan bercanggah mengenai penganiayaan terhadap mereka oleh kerajaan China.

“Beliau boleh membangkitkannya secara peribadi,” katanya.

“Saya tidak fikir ia perlu disebut dalam kenyataan bersama yang akan dikeluarkan oleh kedua-dua pemimpin.

“Mungkin tidak timbul kritikan daripada orang ramai, jika beliau tidak membangkitkan isu itu (Uighur) kerana bukan semua orang sedar tentangnya.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.