
Rapid Rail dalam kenyataan memberitahu, ia membabitkan stesen Bandaraya, Sultan Ismail, PWTC, Titiwangsa, Sentul dan Sentul Timur.
“Operasi stesen itu digantung susulan tren yang digunakan untuk perkhidmatan di stesen tersebut tidak dapat lagi memenuhi kriteria pengoperasian ditetapkan dan terpaksa dikeluarkan daripada perkhidmatan atas faktor keselamatan.
“Ia susulan kerosakan struktur dan landasan berhampiran stesen LRT Bandaraya yang menyebabkan tren tidak dapat kembali ke depoh LRT di Ampang bagi tujuan penyelenggaraan sejak 27 Jan,” katanya.
Menurutnya, pengguna dinasihat menggunakan alternatif lain sepanjang tempoh tersebut.
Tambahnya, perkhidmatan bas ekspres percuma antara LRT Masjid Jamek-Sentul Timur (LRT13) dan Masjid Jamek-Titiwangsa (LRT14) akan disediakan sebagai tambahan kepada perkhidmatan bas sedia ada.
“Perkhidmatan bas ini akan beroperasi dengan jumlah bas sebanyak 40 buah dan kekerapan antara 10-15 minit pada waktu puncak bergantung kepada keadaan trafik semasa.
“Manakala perkhidmatan bas bagi LRT Hang Tuah-Bandaraya (LRT9) dan Masjid Jamek-Bandaraya (LRT10) akan ditamatkan,” katanya.