
Norhayati Talib, 28, didakwa melakukan kesalahan itu di bilik sebuah motel di Batu Ferringhi kira-kira 4.30 petang 20 Mac lalu.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu bersama Zuhan Khan Mohamed Ali, 52, dan Kadrie Kamarulzaman, 41, yang mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan berkenaan.
Mereka bertiga didakwa memiliki 18 keping wang kertas RM100 dan tiga keping RM20 yang mereka tahu palsu.
Bernama melaporkan Majistret Nur Melati Diana Abdul Wahab mengarahkan tertuduh menjalani hukuman penjara mulai tarikh tangkapan pada 20 Mac lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 489C Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama. Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun.
Zuhan yang merupakan pekerja hotel berdepan satu lagi pertuduhan memiliki 14 keping wang kertas palsu RM100 dan sekeping wang palsu RM20, di bilik berlainan motel sama, pada tarikh serta masa sama.
Mahkamah menetapkan 16 Mei ini untuk sebutan semula kes dan membenarkan Zuhan diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan, manakala Kadrie dikenakan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin.
Sementara itu, Zuhan didakwa di Mahkamah Sesyen George Town atas satu lagi pertuduhan menggunakan wang palsu RM100 di kedai 7-Eleven, Batu Ferringhi pada 11 Mac lalu.
Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu mengikut Seksyen 489B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Hakim Mazdi Abdul Hamid membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dan menetapkan sebutan semula kes pada 12 Mei ini.