Kaji punca nilai aset Khazanah turun selepas 2018, kata ahli ekonomi

Kaji punca nilai aset Khazanah turun selepas 2018, kata ahli ekonomi

Nilai aset bersih dana kekayaan berdaulat itu turun 5% tahun lalu walaupun merekodkan keuntungan RM1.6 bilion.

Khazanah mengumumkan dividen RM500 juta kepada kerajaan walaupun memperoleh keuntungan lebih tinggi sebanyak RM1.6 bilion, pada 2022. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Ahli ekonomi mencadangkan semakan dibuat terhadap prestasi Khazanah Nasional, susulan penurunan nilai aset bersih (NAB) syarikat itu sejak 2018.

Liew Chee Yoong dari Pusat Pendidikan Pasaran, berkata ia penting mengambil kira modal khazanah untuk pelaburan akhirnya diperoleh daripada wang pembayar cukai.

Katanya, prestasi kewangan Khazanah menjadi satu perkara penting kepada hasil kerajaan.

“Sebagai dana kekayaan berdaulat, Khazanah mampu menjana keuntungan agak tinggi dan membayar dividen termasuk cukai agak tinggi kepada kerajaan,” katanya yang juga pensyarah UCSI University kepada FMT.

Liew Chee Yoong.

Beliau mengulas laporan tahunan Khazanah bagi 2022. Syarikat itu mengumumkan dividen RM500 juta walaupun memperoleh keuntungan lebih tinggi sebanyak RM1.6 bilion, berbanding RM670 juta, pada 2021.

Bagaimanapun, NAB dilaporkan menyusut kepada 5% kepada RM81 bilion berbanding RM86 bilion pada 2021 kesan penurunan pasaran global.

Pada 2017, NAB Khazanah bernilai RM116 bilion, tertinggi sejak mencapai paras nilai RM100 bilion, pada 2013.

Selepas pertukaran kerajaan pada 2018, NAB Khazanah menurun kepada RM91 bilion dan tidak pernah melepasi paras itu lagi.

Liew mengaitkan sebahagian daripada penurunan NAB Khazanah kepada penjualan asetnya selepas 2018. NAB Khazanah juga turun naik mengikut kadar pasaran.

Pada Oktober 2019, perdana menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad berkata, Khazanah melupuskan aset berjumlah RM18.8 bilion antara Mei 2018 dan Jun 2019, dengan wang berkenaan digunakan bagi membayar hutang dan dividen, selain bagi pelaburan semula.

“Ini (penurunan NAB) boleh berlaku jika mereka ‘menjual beberapa aset’ lebih rendah daripada nilai pasaran ketika penjualan dilakukan,” katanya.

Barjoyai Bardai dari Universiti Tun Razak, percaya penjualan aset Khazanah oleh kerajaan terdahulu bukannya berbentuk “strategik”.

Barjoyai Bardai.

“Aset terbabit dijual kerana kerajaan kekurangan dana dan ini tidak betul. Ia masalah berkait keputusan politik,” katanya.

Barjoyai berkata, kerajaan perlu merombak Khazanah dan mencontohi Dana Pencen Kerajaan Norway, lebih dikenali “Dana Minyak”, dengan matlamat memenuhi objektif jangka panjang.

“Kita perlu berganjak daripada menjadikan institusi kerajaan seperti Khazanah sebagai sumber dana kerajaan setiap tahun,” katanya.

Katanya, di Norway, kerajaan tidak menyentuh Dana Minyak itu lebih 10 tahun sebelum memanfaatkannya untuk perbelanjaan. Ketika ini, secara puratanya, ia hanya membelanjakan setara dengan pulangan sebenar ke atas dana, dianggarkan sekitar 3%.

“Ia kini menyumbang 30% dana kepada kerajaan Norway,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.