
Rama Ramanathan berkata, EAIC merupakan “institusi gagal” kerana polis, yang menyumbang 90% aduan disiasat oleh suruhanjaya itu, tidak menerima laporan siasatannya.
Jurucakap Kumpulan Tindakan Masyarakat Mengenai Kehilangan Paksaan (Caged), berkata: “Perdana menteri perlu ingat Rang Undang-Undang Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis, yang mula dicadang kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini, dan dimodelkan berdasarkan EAIC, jauh daripada menepati sasaran.”
EAIC merupakan badan berkanun persekutuan yang ditubuhkan mengikut Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 (Akta 700), berkuatkuasa pada 1 Apr 2011.
Suruhanjaya itu diberi kuasa menyiasat dan mengadakan pendengaran aduan terhadap pasukan polis dan agensi penguatkuasaan lain.
Rama memberitahu FMT, badan bebas siasatan baharu itu akan gagal menepati kehendak Anwar sekiranya ia tidak mempunyai kuasa seperti diberikan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Suruhanjaya itu sepatutnya mengambil bekas pegawai kanan polis bersara yang meninggalkan pasukan kerana tidak dapat bertolak ansur dengan pimpinan eksekutif polis yang membiarkan pasukan terjejas,” katanya sambil menambah ramai pegawai seperti itu beralih kepada kerjaya berbeza.
“Ia juga perlu memasukkan individu yang bersara awal daripada Jabatan Peguam Negara, bekas hakim bersara, peguam, dan mereka yang mengkaji isu berkaitan.”
Pada Selasa, Anwar Ibrahim memberitahu Dewan Rakyat, beliau meminta Jabatan Peguam Negara (AGC) mengkaji semula cadangan supaya badan bebas diwujudkan bagi menyiasat aduan dan tuduhan terhadap badan penguatkuasa.
Anwar berkata beliau memahami kegelisahan orang ramai mengenai badan penguatkuasa yang menyiasat aduan orang ramai mengenai mereka, justeru terdapat keperluan untuk badan bebas melaksanakan tugas ini.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4), Pushpan Murugiah, berkata badan bebas itu mesti diterajui individu berkepakaran dalam struktur dan budaya kerja dalaman melibatkan agensi penguatkuasaan yang dipantau.
Pushpan berkata, ia merangkumi ahli akademik, peguam, dan bekas pegawai tinggi kerajaan.
“Paling penting adalah mereka memiliki pengetahuan mendalam bagaimana agensi penguatkuasaan berfungsi,” katanya.
Katanya, adalah penting supaya badan siasatan itu tidak sekadar nama, sebaliknya memberikan halangan tambahan kepada agensi penguatkuasaan.