‘Awat jadi lagu tu’, Sanusi dakwa majlis buka puasa anak Kedah ‘diganggu’

‘Awat jadi lagu tu’, Sanusi dakwa majlis buka puasa anak Kedah ‘diganggu’

Sanusi Md Nor berkata kelulusan lokasi majlis berbuka puasa anak Kedah di perantauan bersamanya di Taman Ekspo Pertanian Malaysia, Serdang, 9 April ini ditarik balik.

Menteri Besar Kedah Sanusi Md Nor berkata majlis berbuka puasa bersama perantau negeri itu akan diteruskan seperti dirancang di lokasi lain.
PETALING JAYA:
Menteri Besar Kedah Sanusi Md Nor mendakwa majlis berbuka puasa anjuran pihaknya pula “diganggu” selepas dilarang menyertai acara anjuran kerajaan pusat.

Beliau berkata, kelulusan lokasi majlis berbuka puasa anak Kedah di perantauan bersamanya di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps), Serdang, dijadualkan pada 9 April ini ditarik balik.

“Kelulusan Dewan A Maeps, Serdang, Selangor, bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan pula ditarik balik. Kami nak buat majlis berbuka puasa saja pun…dewan tu pun kerajaan negeri Kedah akan bayar sewa, awat la (kenapa) jadi sampai lagu tu (macam itu).

“Kedah kan menghasilkan 43% beras untuk negara,” katanya di Facebook.

Semalam, Sanusi mendakwa dilarang menyertai majlis anjuran kerajaan pusat termasuk Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2023 Mei ini.

Beliau mendakwa, keputusan itu dibuat barisan Jemaah Menteri kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim.

Namun, Sanusi tidak mendedahkan punca sebenar keputusan itu dibuat.

Dalam pada itu, Sanusi berkata majlis berbuka puasa tersebut akan diteruskan seperti dirancang dan diadakan di Kuala Lumpur.

“Kedah ni kan menghasilkan 43% beras untuk negara. Tak apa, tak gaduh (perlu) kelam-kabut. Lokasi terkini akan dimaklumkan segera…Kuala Lumpur juga,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.