
Presiden Dewan Negara Rais Yatim berkata, beliau menerima perutusan berkait perkara berkenaan daripada Perdana Menteri Anwar Ibrahim selaku ketua majlis.
“Selaras dengan Peruntukan Mesyuarat 10(2), peraturan-peraturan mesyuarat supaya Takwim Mesyuarat Dewan Negara yang sedang berjalan sekarang dipinda dengan menambah sebanyak dua hari lagi pada 10 dan 11 April, iaitu Isnin dan Selasa,” katanya di Dewan Negara hari ini.
Berdasarkan peraturan berkenaan, katanya, ketua atau timbalan ketua majlis boleh mengubah tarikh-tarikh yang ditetapkan dari semasa ke semasa.
Sidang Dewan Negara sebelum ini dijadual berlangsung selama 12 hari, bermula 21 Mac hingga 6 April.
Menurut Takwim Dewan Negara, perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2023 (Belanjawan 2023) yang bermula hari ini dijadual berlangsung sehingga Isnin depan.
Difahamkan tambahan dua hari berkenaan bagi menyelesaikan perihal berkait RUU dan urusan kerajaan yang lain.