Pertimbang benar syarikat lain sedia bekalan hospital kerajaan, kata MMA

Pertimbang benar syarikat lain sedia bekalan hospital kerajaan, kata MMA

Persatuan Perubatan Malaysia berkata pembekal mungkin mengurangkan atau menghentikan produk mereka kepada Pharmaniaga jika masalah kewangan GLC itu berterusan.

Pharmaniaga ialah pemegang konsesi untuk penyediaan ubat-ubatan dan bekalan perubatan kepada hospital serta klinik kerajaan.
PETALING JAYA:
Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) berkata Putrajaya harus mempertimbangkan untuk membenarkan syarikat lain menyediakan dan mengedarkan bekalan perubatan ke kemudahan penjagaan kesihatan awam.

Presiden MMA, Dr Muruga Raj Rajathurai, berkata isu kewangan Pharmaniaga Bhd membuktikan ia terlalu berisiko untuk kerajaan bergantung kepada pembekal tunggal bagi bekalan perubatan.

“Sudah tentu, ini akan mengambil masa untuk dilaksanakan. Sementara itu, langkah segera diperlukan untuk mendapatkan bekalan ubat yang mencukupi bagi penjagaan kesihatan awam,” katanya dalam kenyataan.

Pharmaniaga adalah pemegang konsesi untuk penyediaan ubat-ubatan dan bekalan perubatan kepada hospital serta klinik kerajaan.

Ia bertanggungjawab mendapatkan lebih daripada satu pertiga, atau lebih 700 daripada bekalan ubat berjenama dan generik kerajaan, serta untuk logistik dan pengedaran ubat-ubatan ini.

Pada 27 Feb, Pharmaniaga mengumumkan ia berada bawah klasifikasi PN17 selepas mencatatkan kerugian bersih suku tahunan terbesarnya sebanyak RM664.39 juta, pada suku keempat berakhir 31 Dis 2022.

Katanya, kerugian itu didorong kemerosotan RM552.3 juta kerana vaksin Covid-19 yang tidak terjual.

Muruga berkata, kerajaan perlu mengambil pandangan lebih serius mengenai masalah kewangan Pharmaniaga kerana ia boleh memberi kesan besar kepada bekalan ubat negara dalam sektor penjagaan kesihatan awam.

Beliau berkata, pembekal mungkin mengurangkan atau menghentikan bekalan ubat mereka kepada Pharmaniaga jika isu itu berlarutan, kerana mereka juga akan mengalami kerugian jika bayaran tertunggak masih tidak diselesaikan.

Katanya, bekalan ubat-ubatan penting seperti untuk merawat kes kecemasan dan akut akan terjejas jika senario itu berlaku.

Minggu lalu, persatuan utama mewakili syarikat farmaseutikal menyuarakan kebimbangan masalah kewangan Pharmaniaga, dengan berkata ia boleh menjejaskan akses pesakit kepada ubat jika tidak diselesaikan dengan cepat.

Pengarah Eksekutif Persatuan Farmaseutikal Malaysia (PhAMA), Chan Li Jin, berkata klasifikasi Nota Amalan 17 (PN17) Pharmaniaga untuk syarikat yang mengalami masalah kewangan membawa kepada “ketidakpastian dan kebimbangan” dalam kalangan pembekal ubat.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, berkata kementerian sedang mengadakan perbincangan dengan syarikat farmaseutikal itu tetapi menegaskan Pharmaniaga bukan bawah bidang kuasa kementerian, sekali gus memerlukan perbincangan lanjut untuk menyelesaikan isu itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.