Melaka akan dapat KM pintu belakang, kata exco

Melaka akan dapat KM pintu belakang, kata exco

Jailani Khamis berkata, ini ialah ‘spesies baharu ’ daripada Umno dan BN.

Adun Rembia, Jailani Khamis berkata, rakyat tahu istilah ‘kerajaan pintu belakang’.
PETALING JAYA:
Seorang exco berkata, Melaka akan mempunyai ketua menteri “pintu belakang”, di sebalik khabar angin terbaharu berhubung penggantian Ketua Menteri sedia ada, Sulaiman Ali.

Jailani Khamis, exco pelancongan, warisan dan kebudayaan Melaka, berkata rakyat tahu istilah “kerajaan pintu belakang”.

“Apa yang tuan-tuan akan saksikan dalam beberapa hari berikutnya ialah ketua menteri tebuk atap atau ketua menteri pintu belakang.

“Ini spesies baharu kelahiran Umno dan Barisan Nasional,” kata Adun Rembia kepada FMT.

Terdahulu, Ketua Umno Melaka, Ab Rauf Yusoh enggan mengulas khabar angin negeri itu akan mempunyai ketua menteri baharu “sehingga ada maklumat seterusnya”.

Sinar Harian melaporkan ketua menteri baharu itu akan mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Ali Rustam pada Jumaat ini bagi menggantikan Sulaiman.

Media bagaimanapun gagal mendapat pengesahan dan komen daripada Sulaiman, biarpun tiga jam menunggunya di Pejabat Ketua Menteri di Seri Negeri.

Setiausaha Akhbar Sulaiman, Nasharudin Muhamad dilaporkan berkata, Adun Lendu itu enggan bertemu media.

Ini bukan julung kali timbul khabar angin mendakwa Sulaiman akan digantikan.

Pada November 2021, selepas PRN, Rauf didakwa cuba melobi pemimpin tertinggi parti untuk dinamakan sebagai ketua menteri. Beliau juga tidak menghadiri upacara mengangkat sumpah Sulaiman.

Rauf kemudian menafikan cakap-cakap berhubung pergolakan dalam kerajaan negeri yang baru ditubuhkan dengan berkata, Sulaiman mendapat sokongan semua ketua bahagian Umno.

Rauf turut dilantik sebagai exco perindustrian, pelaburan dan pembangunan usahawan negeri.

Disember lalu, Sulaiman menafikan spekulasi akan melepaskan jawatannya pada bulan berikutnya. Ini menyusul laporan media beliau akan meletak jawatan pada 3 Jan untuk memberi laluan kepada Rauf.

Rauf kemudian mendakwa ada pihak tertentu cuba memecah belahkan hubungannya dengan Sulaiman dengan menyebarkan khabar angin berniat jahat mengenainya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.