
Ketua Polis Petaling Jaya, Fakhrudin Abdul Hamid berkata, lelaki itu akan didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam.
“Kertas siasatan sudah dirujuk kepada timbalan pendakwa raya dan mendapat arahan untuk mendakwa lelaki terbabit pada Jumaat ini,” katanya menurut Harian Metro.
Kelmarin, polis dilaporkan mengambil keterangan sembilan individu berhubung pergelutan anggota penguat kuasa MBPJ dan orang awam ketika operasi menangkap anjing liar di Taman Kanagapuram, di sini minggu lalu.
Ia susulan laporan polis dibuat seorang anggota penguat kuasa terbabit dalam operasi itu.
Polis dilaporkan berkata, hasil siasatan mendapati warga emas itu cuba melindungi anjing liar dengan memasukkan binatang itu ke premisnya Rabu lalu.
Pasukan penguat kuasa cuba menghalang lelaki itu daripada menutup pintu premis, tetapi gagal berbuat demikian.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam.