Pengerusi baharu SPAN gesa negeri tingkat kapasiti simpanan air

Pengerusi baharu SPAN gesa negeri tingkat kapasiti simpanan air

Tambahan, kata Charles Santiago, industri perlu diberikan insentif untuk mengitar semula air.

Pengerusi SPAN Charles Santiago berkata, sistem mengumpul lebihan hujan boleh mengurangkan kesan banjir, manakala air terkumpul boleh digunakan ketika musim kemarau.
PETALING JAYA:
Pengerusi baharu Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menekankan pada kerajaan negeri agar melabur dalam kemudahan penyimpanan air sebagai langkah berdepan corak cuaca lebih ekstrem.

Charles Santiago berkata, industri juga mesti diberikan insentif untuk melaksanakan tanggungjawab mengitar semula air.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan pakar iklim Ramzah Dambul yang memberi amaran Malaysia dijangka berdepan cuaca kering pada Julai.

Ramzah, yang mengetuai Institut Kajian Pembangunan di Sabah, berkata Malaysia dan Indonesia mungkin akan mengalami musim kemarau lebih panjang tahun ini, dan keadaan ini boleh membawa kepada peningkatan potensi kebakaran hutan.

Santiago yang dilantik semula sebagai pengerusi SPAN pada 20 Mac berkata, senario berkenaan menyumbang kepada peningkatan permintaan air untuk pengguna dan memadamkan kebakaran hutan.

“Sistem mengumpul lebihan hujan boleh mengurangkan kesan banjir, manakala air terkumpul boleh digunakan ketika musim kemarau,” katanya kepada FMT.

Pada peringkat pengguna, beliau mencadangkan kerajaan memberikan insentif cukai kepada perniagaan untuk memasang sistem kitar semula air bertujuan mengurangkan permintaan ketika kemarau.

“Memandangkan perniagaan menggunakan banyak air, mereka mungkin berminat mengambil langkah itu untuk mengurangkan kos, namun mereka perlu sedikit bantuan daripada kerajaan,” katanya.

Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia S Piarapakaran berkata, pihaknya sudah berulang kali memberikan peringatan kepada kerajaan tentang peningkatan ancaman banjir, diikuti musim kemarau lebih ekstrem.

Beliau berkata, pengurangan taburan hujan akan menjejaskan pengeluaran kelapa sawit, beras, sayuran dan ladang ternakan yang bergantung kepada pengairan dari empangan.

Sebagai contoh, katanya, empangan di Kedah menjadi sumber minuman dan pengairan lembangan meluas sawah padi. Apabila permintaan meningkat, air untuk pertanian terpaksa disalurkan kepada pengguna.

Piarapakaran berkata, kerajaan perlu melakukan lebih lagi termasuk mengekang penebangan hutan yang memberikan impak pada perubahan iklim dan corak cuaca lebih ekstrem.

Katanya, kemarau berpanjangan akan menjejaskan pengguna.

“Peningkatan keperluan penyejukan ketika kemarau akan melambung pada waktu puncak, sekali gus mendorong pertambahan kos elektrik ditanggung perniagaan dan pengguna domestik,” katanya.

Katanya, kerajaan sepatutnya sudah mula berunding dengan penyedia bekalan tenaga untuk menurunkan kos tarif bagi pengguna.

“Cadangan sedemikian boleh membantu mengurangkan impak kos tetap tarif yang akan disalurkan kepada pengguna,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.