
Hakim Siti Aminah Ghazali menjatuhkan hukuman itu terhadap Lim Chia Lin selepas dia mengaku bersalah atas tuduhan mengikut Seksyen 29(1)(d) akta kebajikan haiwan 2015.
Sekiranya gagal membayar denda, Lim yang tidak diwakili peguam perlu menjalani hukuman penjara tambahan setahun.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Ahmad Hakimi Wan Ahmad Jaafar.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Bayu Tasik Condominium di Bandar Sri Permaisuri, Cheras.
Menurut fakta kes, pada 11 Mac lalu, pemilik kediaman itu yang bertindak atas aduan penduduk lain, menyiasat bau busuk dari unit tersebut.
Pemilik itu kemudiannya menemui satu sangkar yang mengandungi beberapa bangkai kucing di pintu hadapan dan mengarahkan Lim untuk membuangnya.
Beberapa hari kemudiannya, pemilik itu datang semula untuk meminta sewa rumah daripada Lim dan terbau benda busuk dari dalam kediaman itu.
Pemilik rumah itu yang membuat pemeriksaan terkejut melihat bangkai kucing sebelum ini tidak dibuang.
Kerana pintu rumah terbuka, dia bersama pengurus bangunan dan seorang pengawal keselamatan memasuki unit itu dan mengesan bau busuk dari dalam peti sejuk dan timbunan “daging kisar” di dapur.
Tertuduh yang berusia 31 tahun sedang tidur ketika kejadian.