
Pengerusi BN itu berkata soal calon menteri besar masih belum dibincangkan Sekretariat Perundingan Kerajaan Perpaduan.
“Dia pun tak ada masuk dalam mesyuarat sekretariat,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat jawatankuasa Jemaah Menteri menangani denggi di Parlimen tengah hari tadi.
“Itu pandangan peribadi dia. Soal (calon MB) nanti kita bincang dalam sekretariat.”
Terdahulu, Khalid dipetik sebagai berkata calon menteri besar bagi Kedah, Kelantan, dan Terengganu mungkin “lebih condong untuk diberi kepada BN”.
“Tetapi kita mahu tengok dulu siapa calonnya. Ia mesti dibincang dan dirunding semula,” katanya, ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Sementara itu, Khalid ketika ditemui di Parlimen petang tadi berkata pandangannya itu “berdasarkan statistik dan data”, yang menunjukkan BN mengatasi PH dari segi bilangan kerusi DUN di Kelantan dan Terengganu.
PH bagaimanapun mempunyai kekuatan di Kedah, tambahnya.
“Saya memang lontar idea itu untuk ianya dibincang dan dibahas dengan lebih mendalam,” katanya.