Kes kematian akibat denggi meningkat 400%, kata Zahid

Kes kematian akibat denggi meningkat 400%, kata Zahid

Peningkatan itu membabitkan 17 kes kematian hingga minggu ke-12 tahun ini, berbanding hanya empat kes bagi tempoh sama pada tahun sebelumnya.

Ahmad Zahid Hamidi bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Jemaah Menteri Menangani Denggi di Parlimen hari ini.
KUALA LUMPUR:
Kes kematian akibat demam denggi di seluruh negara mencatatkan peningkatan 400% hingga minggu ke-12 tahun ini, menurut Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.

Zahid, yang juga menteri kemajuan desa dan wilayah berkata, peningkatan itu membabitkan 17 kes kematian, berbanding hanya empat kes bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

Jumlah keseluruhan kes jangkitan demam denggi pula merekodkan peningkatan sebanyak 223%, iaitu 26,222 kes bagi tempoh tersebut tahun ini, berbanding 8,214 kes pada 2022.

Beliau memaklumkan perkara ini dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Jemaah Menteri Menangani Denggi di Parlimen hari ini.

Zahid berkata, jawatankuasa tersebut, yang asalnya ditubuhkan pada 2014, diaktifkan dan dijenamakan semula bertujuan menggembleng usaha dan tindakan bersepadu bagi pencegahan dan kawalan denggi.

“Mesyuarat hari ini memutuskan Jawatankuasa Peringkat Kebangsaan Mengenai Denggi dijenamakan semula kepada Jawatankuasa Jemaah Menteri Menangani Denggi agar ia selaras dengan jawatankuasa Jemaah Menteri yang lain,” katanya, sambil menambah jawatankuasa itu akan bermesyuarat dua kali setahun.

Selain itu, katanya, Pasukan Petugas Khas Peringkat Kementerian dijenamakan semula sebagai Jawatankuasa Peringkat Tinggi Menangani Denggi, membabitkan semua kerajaan negeri.

Jawatankuasa berkenaan membabitkan 12 kementerian, semua pejabat menteri besar dan ketua menteri serta Jabatan Wilayah Persekutuan.

Tambahnya, semua negeri dimohon untuk menggerakkan sukarelawan dan NGO dalam menjalankan aktiviti pencegahan denggi di negeri dan daerah masing-masing.

“Jawatankuasa ini juga amat mengalu-alukan penglibatan dan kerjasama sektor swasta dalam menangani isu denggi sebagai tanggungjawab sosial korporat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.