1 maut, 2 parah dalam kejadian kejar kenderaan di Johor

1 maut, 2 parah dalam kejadian kejar kenderaan di Johor

Pemandu Mazda CX5 yang berang kerana penumpang Proton Wira dikatakan melarikan telefon bimbit miliknya bertindak mengejar kenderaan berkenaan.

Proton Wira terbabit hilang kawalan lalu memasuki lorong bertentangan sebelum bertembung dengan Perodua Axia yang dinaiki sepasang suami isteri, kata polis. (Gambar JBPM)
PETALING JAYA:
Tindakan berani pemandu sebuah kenderaan mengejar sebuah kenderaan lain menyebabkan seorang maut manakala dua parah dalam kejadian di Batu Pahat, Johor, petang semalam.

Ketua Polis Batu Pahat Ismail Dollah berkata, kejadian pada 3.30 petang itu berlaku apabila pemandu Mazda CX5 berang setelah mendakwa penumpang hadapan Proton Wira yang dikejarnya melarikan telefon bimbit miliknya.

Katanya, setibanya di lokasi kejadian, iaitu di Jalan Parit Jalil, Parit Sulong, Mazda CX5 yang dipandu suspek berusia 31 tahun itu hilang kawalan secara sendirinya dan terlanggar bahagian belakang Proton Wira yang dikejarnya.

“Proton Wira itu dipandu lelaki berusia 39 tahun dengan penumpang hadapannya seorang lelaki berusia 43 tahun dari Taman Putera Indah, Tongkang Pechah,” katanya, lapor Harian Metro.

Beliau berkata, Proton Wira terbabit hilang kawalan lalu memasuki lorong bertentangan sebelum bertembung dengan Perodua Axia yang dinaiki sepasang suami isteri.

“Pertembungan itu menyebabkan penumpang hadapan Proton Wira meninggal dunia di lokasi manakala pemandunya cedera ringan,” tambahnya.

Pasangan suami isteri yang menaiki Perodua Axia pula cedera parah dan kini dirawat di Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat.

Ismail berkata, mangsa yang maut bekerja sendiri, manakala suspek yang merupakan pemilik kilang tidak mengalami kecederaan. Sehingga kini, tiada tangkapan dibuat, katanya.

Saksi kejadian diminta membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Muhammad Asma’i Md Yusuff di talian 013-6550128.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.