
Ketua Polis Petaling Jaya, Fakhrudin Abdul Hamid, berkata pihaknya dalam proses melengkapkan kertas siasatan sebelum menyerahkan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat.
“Polis tidak akan mendedahkan hasil siasatan dan akan memaklumkan kepada media, sekiranya terdapat sebarang pertuduhan,” katanya menurut Utusan Malaysia.
Sabtu lalu, polis dilaporkan akan menyiasat seorang lelaki warga emas yang mendakwa “diserang” pasukan penguat kuasa MBPJ ketika operasi menangkap anjing liar kerana menghalang penjawat awam melakukan tugas.
Ia susulan laporan polis dibuat seorang anggota penguat kuasa terbabit dalam operasi itu.
Polis dilaporkan berkata, hasil siasatan mendapati warga emas itu cuba melindungi anjing liar dengan memasukkan binatang itu ke premisnya Rabu lalu.
Pasukan penguat kuasa cuba menghalang lelaki itu daripada menutup pintu premis, tetapi gagal berbuat demikian.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam.