Tak dapat RM20 beli dadah, lelaki pijak ibu

Tak dapat RM20 beli dadah, lelaki pijak ibu

Kejadian disedari selepas abangnya menerima rakaman video suspek yang juga bekas anggota tentera, telah memijak dan memukul ibunya, petang kelmarin.

Polis berkata suspek yang didakwa memijak kepala ibunya, dikesan positif methamphetamine dan mempunyai dua rekod kesalahan lampau berkaitan dadah.
PETALING JAYA:
Seorang wanita berusia 65 tahun cedera dipijak dan dipukul oleh anak lelakinya kerana dipercayai enggan menuruti permintaan suspek mahukan wang RM20 untuk membeli dadah.

Kejadian berlaku pada 2.30 petang kelmarin di Tanah Merah, Kelantan menyebabkan mangsa bengkak di kepala, dahi, dan juga mata serta sakit pada bahagian badan.

Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tanah Merah dan menerima rawatan pesakit luar.

Ketua Polis Tanah Merah Mohd Haki Hasbullah berkata suspek yang juga bekas anggota tentera berusia 32 tahun ditahan selepas polis menerima laporan daripada abangnya pada petang hari kejadian.

Laporan itu dibuat selepas abang suspek menerima satu rakaman video daripada abang iparnya mengenai kejadian itu.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku di sebuah rumah di mana suspek disyaki bertindak memijak muka dan memukul ibunya kerana gagal menunaikan permintaan mendapatkan RM20 untuk membeli dadah.

“Suspek yang juga pemegang kad orang kurang upaya (OKU) mental ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga (AKRT).

“Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine serta mempunyai dua rekod kesalahan lampau berkaitan dadah,” katanya, menurut Berita Harian.

Katanya lagi, suspek mengaku memukul ibunya kerana tidak memberikan wang seperti diminta dan dia direman empat hari bermula semalam untuk siasatan lanjut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.