Sistem kawalan diesel bersubsidi siap tahun ini, kata timbalan menteri

Sistem kawalan diesel bersubsidi siap tahun ini, kata timbalan menteri

Timbalan Menteri Kewangan Ahmad Maslan berkata kerajaan juga mengkaji kesan ke atas kos kenaikan harga barang jika sistem kawalan diesel bersubsidi dilaksanakan.

Timbalan Menteri Kewangan Ahmad Maslan berkata sistem kawalan diesel bersubsidi hanya akan disiapkan pada separuh kedua tahun ini dan tarikh pelaksanaannya belum ditetapkan.
KUALA LUMPUR:
Kerajaan sedang merangka sistem kawalan diesel bersubsidi (SKDS) dan dijangka siap pada separuh kedua tahun ini, kata Timbalan Menteri Kewangan Ahmad Maslan.

Beliau berkata, kerajaan turut mengkaji kesan ke atas kos kenaikan harga barang jika SKDS dilaksanakan kelak.

“Kerajaan akan memberi pendekatan berbeza kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi memastikan sektor ini tidak terjejas dengan pelaksanaan sistem tersebut.

“Namun, semuanya masih dalam kajian dan sistem ini hanya akan disiapkan pada separuh kedua tahun ini dan tarikh pelaksanaannya masih belum ditetapkan,” katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) mengenai rasional pelaksanaan dan langkah mitigasi untuk membantu sektor terkesan.

Sementara itu, Ahmad berkata kerajaan sedang meneroka langkah menambah baik pemberian subsidi secara lebih bersasar dalam mengurangkan ketirisan dan mengoptimumkan perbelanjaan kepada program dan projek yang memberi nilai tambah kepada rakyat dan ekonomi negara.

Katanya, ini bertujuan mengimbangi tanggungan subsidi dengan keperluan untuk memelihara kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Radzi Jidin (PN-Putrajaya) mengenai tarikh pelaksanaan subsidi bersasar seperti diumumkan perdana menteri pada 27 Nov 2022 serta jaminan kerajaan bahawa harga barangan tidak akan meningkat apabila ia dilaksanakan kelak.

Ahmad berkata, satu pasukan khas diwujudkan bawah Kementerian Kewangan untuk bekerjasama dengan kementerian, jabatan dan agensi terlibat bagi meneliti keperluan dan kebolehlaksanaan subsidi secara bersasar di samping mengenal pasti kaedah berkesan boleh menjimatkan masa serta memberi implikasi kewangan paling minimum kepada kerajaan.

Ini termasuk mengumpul data daripada Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Pendaftaran Negara, Lembaga Hasil Dalam Negeri, katanya.

“Penepatan kriteria kelayakan masih belum diputuskan, namun usaha membangunkan pusat data komprehensif sedang dibuat bagi membantu kerajaan menetapkan kriteria bersesuaian berdasarkan data diperoleh.

“Pelaksanaan pemberian subsidi secara bersasar ini akan dibuat secara berperingkat tertakluk kepada ketersediaan serta mengekalkan fokus kerajaan dalam memastikan kos sara hidup rakyat terutama golongan B40 tidak terjejas,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.