Peniaga mengaku tak salah buat komunikasi jelik terhadap Sultan Johor

Peniaga mengaku tak salah buat komunikasi jelik terhadap Sultan Johor

Nor Fadzelli Nor Asmadi didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik sifatnya di Twitter dengan niat menyakitkan hati.

Nor Fadzelli Nor Asmadi, 32, membuat pengakuan tidak bersalah selepas tuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azrol Abdullah di Mahkamah Sesyen Sepang. (Gambar Bernama)
SEPANG:
Seorang peniaga ikan pekasam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas tuduhan membuat penghantaran komunikasi jelik terhadap Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Twitter tahun lalu.

Nor Fadzelli Nor Asmadi, 32, yang tidak diwakili peguam, membuat pengakuan itu selepas tuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azrol Abdullah.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi berbentuk teks yang jelik sifatnya dengan niat menyakitkan hati orang lain menggunakan nama profil “Fadzelli6”.

Hantaran itu dibaca pada 25 Nov tahun lalu kira-kira 2 petang di ibu pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di Cyberjaya.

Nor Fadzelli didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) serta boleh dihukum bawah Seksyen 233 (3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Prosiding pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Fazil Sani Mohamed Fadzil yang mencadangkan jumlah jaminan RM15,000 dikenakan pada Nor Fadzelli.

Tertuduh merayu jaminan rendah atas alasan dia sebagai anak sulung menanggung lima beradik dengan hanya membantu ibunya menjual ikan pekasam.

Azrol membenarkan Nor Fadzelli diikat jamin RM5,000 dan menetapkan 11 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes serta lantikan peguam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.