Mesyuarat panel penempatan kanak-kanak ditubuh tangani kes penderaan

Mesyuarat panel penempatan kanak-kanak ditubuh tangani kes penderaan

Mesyuarat panel itu yang dipengerusikan pengarah kebajikan masyarakat negeri akan turut melibatkan keahlian pejabat kebajikan masyarakat daerah dan pelindung.

Antara inisiatif dilaksanakan KPWKM untuk menangani kes penderaan kanak-kanak termasuk pelaksanaan dasar dan perundangan, penyampaian perkhidmatan dan khidmat sokongan.
KUALA LUMPUR:
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menubuhkan Mesyuarat Panel Penempatan Kanak-kanak kepada Orang Yang Layak dan Sesuai di peringkat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri dalam usaha menangani kes penderaan terhadap golongan itu.

Menterinya, Nancy Shukri berkata mesyuarat panel itu yang dipengerusikan pengarah kebajikan masyarakat negeri, akan turut melibatkan keahlian pejabat kebajikan masyarakat daerah dan pelindung bagi kes pemeliharaan dan perlindungan kanak-kanak yang ditempatkan dalam jagaan orang yang bukan ibu atau bapa kanak-kanak itu.

Beliau berkata, KPWKM memandang serius sebarang kes penderaan kanak-kanak dan dengan kerjasama agensi bawahnya, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan dari pelbagai aspek, termasuk pelaksanaan dasar dan perundangan, penyampaian perkhidmatan dan khidmat sokongan.

“Antara langkah segera turut dilaksanakan KPWKM adalah mewujudkan Garis Panduan Pengurusan Penempatan Kanak-kanak kepada Ibu Bapa dan Orang Yang Layak dan Sesuai (OYLS).

“Melalui garis panduan ini, pegawai pelindung JKM mempunyai rujukan dan panduan secara terperinci dalam proses membuat syor pihak yang layak menjadi OYLS, sebelum diputuskan oleh mahkamah,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.

Nancy Shukri.

Beliau menjawab soalan Doris Sophia Brodi (GPS-Sri Aman) yang ingin tahu langkah segera kementerian dalam menangani masalah penderaan dan sosial membabitkan kanak-kanak.

Dalam hal itu, Nancy berkata, beberapa tindakan penguatkuasaan juga dilaksanakan terhadap pusat jagaan kanak-kanak yang ditubuhkan bawah Akta Pusat Jagaan 1993 bagi memastikan kebajikan, kesejahteraan dan keselamatan penghuni di pusat jagaan berkenaan terjamin.

“Antara yang dilaksanakan oleh JKM dalam memastikan pusat jagaan ini beroperasi mengikut peraturan ditetapkan adalah seperti melaksanakan lak atau sita, pendakwaan dan kompaun.

“Pada masa sama, ‘task force’ Pemutihan dan Tindakan Penguatkuasaan ke atas pusat jagaan yang tidak berdaftar turut ditubuhkan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.