Kadar inflasi stabil sejak kerajaan perpaduan berkuasa, kata Rafizi

Kadar inflasi stabil sejak kerajaan perpaduan berkuasa, kata Rafizi

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata ia berdasarkan data diambil ketika harga barangan berada di kemuncak pada September 2022 dan yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata kadar inflasi negara kini menunjukkan penurunan.
PUTRAJAYA:
Kadar inflasi negara kembali stabil sejak kerajaan perpaduan mengambil alih pentadbiran, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Rafizi berkata, ini berdasarkan data diambil ketika harga barangan berada di kemuncak pada September 2022 dan yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan.

Katanya, tanda menunjukkan kemuncak peningkatan harga barangan sudah berlalu.

“Kita berharap dari sebulan ke sebulan, ianya turun pada kadar 0.1% tiap dua bulan dan pola menurun ini berterusan dalam bulan-bulan akan datang daripada 3.8% (Disember 2022) turun kepada 3.7% (Januari dan Februari 2023).

“Jika aliran ini berterusan sehingga akhir tahun ini, kita berpeluang membawa inflasi ke paras sekitar 3.1%-3.3%,” katanya dalam sidang media penerbitan Indeks Harga Pengguna (IHP) Februari 2023.

Bagaimanapun, Rafizi berkata kadar inflasi bergantung kepada perkara di luar kawalan seperti gangguan bekalan bahan mentah yang disebabkan oleh faktor geopolitik antarabangsa atau gangguan setempat seperti banjir.

Minggu lalu Jabatan Perangkaan berkata, kadar inflasi kekal pada 3.7%, didorong oleh makanan dan minuman, keperluan rumah dan produk kesihatan.

Walaupun kadar inflasi sudah mencapai tahap lebih stabil, Rafizi berkata kerajaan sedar harga barangan masih tinggi jika dibandingkan dengan pendapatan rakyat.

Dalam sidang media itu, Rafizi turut mengumumkan aplikasi KitaJaga iaitu kemudahan bagi penyemakan harga, termasuk mampu mempamerkan harga harian untuk setiap barang mengikut lokaliti tertentu.

Inisiatif itu adalah hasil kolaborasi antara Kementerian Ekonomi dan organisasi tempatan, KitaJaga yang membangunkan aplikasi tersebut serta ciri-ciri kegunaannya.

Beliau berkata, aplikasi KitaJaga itu juga membolehkan rakyat membuat pembelian secara bijak susulan kemudahan maklumat data harga barangan di hujung jari.

“Kementerian Ekonomi akan memulakannya dengan data harga barang runcit kerana kebanyakan kenaikan harga tertumpu dalam kategori ini dan seterusnya diperluaskan kepada kategori lain untuk kegunaan rakyat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.