
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ahmad Khusairi Yahaya, berkata tidak kira sama ada mereka mempunyai permit kerja, visa pelajar, apatah lagi “kosong” tanpa permit dan berstatus pendatang asing tanpa izin (Pati), kumpulan ini sering menjadi sasaran penguat kuasa.
“Sungguh menyedihkan dan pahit untuk ditelan, namun inilah kejadian yang sering dihadapi oleh golongan warga asing,” katanya dalam kenyataan.
“Inilah hakikat yang berlaku dan mendatangkan imej amat buruk kepada Malaysia. Tahap korupsi anggota penguat kuasa selaku barisan hadapan keselamatan negara dilihat semakin kronik dan membimbangkan.”
Beliau berkata, rasuah berlaku pada setiap peringkat proses keberadaan warga asing di negara ini, termasuk membabitkan ejen pekerja asing yang mengaut keuntungan berlipat kali ganda dengan mengenakan pelbagai yuran proses termasuk visa dan permit kerja.
“(Serta) merasuah penguat kuasa di pintu masuk negara untuk mempercepatkan proses keluar dan masuk bagi pendatang asing yang tinggal melebihi tempoh, terbabit dengan jenayah, disenarai hitam, tidak memenuhi syarat kemasukan dan sebagainya.
“Selain itu, penyalahgunaan visa pelajar asing bagi tujuan bekerja, berniaga dan terbabit dalam aktiviti tidak bermoral turut mengundang rasuah membabitkan anggota penguat kuasa,” katanya.
Beliau berkata, rasuah yang berlaku turut dikaitkan aktiviti melindungi kegiatan pelacuran, rumah urut, perjudian dan “Macau Scam” yang kebanyakan pekerjanya terdiri warga asing; menggunakan premis dan lesen perniagaan rakyat tempatan; serta kegiatan penyeludupan barang larangan termasuk barangan kawalan seperti petrol dan minyak masak.
“Ini adalah sebahagian daripada kesalahan yang berlaku membabitkan pendatang asing di negara ini. Secara tidak langsung, ia juga mewujudkan ruang dan peluang kepada anggota penguat kuasa untuk mengutip rasuah secara kecil-kecilan, bulanan mahupun bersindiket.
“Isu kebanjiran pendatang asing di negara ini tidak boleh dilihat sebagai perkara remeh. Kesannya amat buruk kerana ia membabitkan masalah sosial, jenayah, kesihatan dan keselamatan negara,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, pendedahan SPRM menerusi Op Tropicana, Op Bolos KLIA 1 & 2, Op Lancar dan beberapa siri operasi lain membuktikan isu ini serius dan memerlukan tindakan tegas agensi penguatkuasaan bertanggungjawab.